KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tampil membuat laporan polis susulan penyebaran satu hantaran di Facebook yang didakwa mengandungi tuduhan liar dan fitnah terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkaitan isu sempadan Pulau Sebatik.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Datuk Azrul Ibrahim berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap individu terlibat mengikut undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata, hantaran berkenaan telah mengaitkan dan menuduh Ketua Menteri kononnya ‘menjual Sabah kepada Indonesia’, termasuk dakwaan bahawa sebahagian besar tanah di Pulau Sebatik telah diserahkan kepada negara jiran itu.

“Dakwaan ini tidak berasas dan telah dinafikan oleh pihak berkaitan termasuk Duta Besar Indonesia ke Malaysia.
“Ia jelas merupakan satu bentuk manipulasi isu oleh pihak tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini pada Jumaat.
Azrul berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan isu itu sengaja dibangkitkan menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadual berlangsung minggu hadapan, selain berkait kepentingan politik pihak tertentu.
Sehubungan itu, beliau berkata Pemuda Gagasan Rakyat mengambil tanggungjawab untuk membuat laporan polis serta membuka ruang kepada siasatan terhadap pihak yang cuba mencetuskan provokasi dan menyebarkan berita palsu.
Dalam masa sama, beliau menggesa Wisma Putra tampil memberikan penjelasan segera berhubung isu Pulau Sebatik bagi mengelakkan kekeliruan serta manipulasi maklumat.
“Ketidakjelasan maklumat membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk mengulas dan memutarbelitkan fakta sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika mengulas isu sensitif seperti sempadan negara kerana ia melibatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
“Rakyat disaran mendapatkan maklumat daripada sumber berautoriti dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang dakwaan di media sosial,” katanya.
Mengulas lanjut, Azrul berkata isu Pulau Sebatik bukan perkara baharu, sebaliknya telah melalui rundingan antara kedua-dua negara sejak sekian lama.
Katanya, kenyataan tidak bertanggungjawab berhubung isu itu boleh menjejaskan keharmonian serta hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia jika tidak ditangani dengan baik.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menegur tindakan seorang pengguna media sosial dikenali sebagai ‘Amy Dangin’ yang didakwa mengeluarkan kenyataan provokatif termasuk menuduh Ketua Menteri membayar ‘cyber troopers’.
“Sebarang bentuk provokasi dan tuduhan tidak berasas perlu dihentikan. Kita mahu suasana harmoni serta fokus kepada usaha membangunkan Sabah,” katanya.
Beliau menambah, pihak Pemuda Gagasan Rakyat akan terus memantau perkembangan di media sosial dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan lanjut termasuk membuat laporan polis tambahan sekiranya keadaan memerlukan.



