KOTA KINABALU: Dakwaan kononnya berlaku keretakan pada jambatan di persimpangan bertingkat Norowot yang tular di media sosial disifatkan sebagai tidak tepat, sebaliknya ia adalah ciri rekabentuk struktur jambatan.
Sektor Lebuhraya Pan Borneo Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, imej yang dikongsi menunjukkan jurang di antara dua ‘deck slab’ yang direka khas bagi menampung pergerakan serta gegaran akibat beban trafik.
Menurut kenyataan itu, jurang berkenaan akan ditutup menggunakan komponen dikenali sebagai ‘expansion joint’, yang merupakan sebahagian daripada elemen penting dalam pembinaan jambatan.

“Ini bukan keretakan seperti didakwa, sebaliknya adalah rekabentuk standard dalam pembinaan jambatan bagi memastikan struktur dapat menampung pergerakan dan beban trafik,” menurut kenyataan itu di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, pembukaan awal persimpangan bertingkat Norowot dibuat sebelum pemasangan expansion joint selesai sebagai langkah mengurangkan kesesakan trafik yang ketara di Pekan Telipok.
Langkah itu juga berkait dengan keperluan mempercepatkan penutupan laluan pusingan U sementara bagi memberi laluan kepada pembinaan Jambatan Telipok yang mengalami kelewatan.
Selain itu, kelewatan kerja pengalihan utiliti turut menjejaskan penyiapan Elevated U-Turn 1 arah Tuaran dan Elevated U-Turn 2 arah Kota Kinabalu, yang kini dijangka siap pada Ogos 2026.
Bagi memastikan keselamatan pengguna, pengurusan trafik sementara telah dilaksanakan termasuk pemasangan papan tanda amaran dan kawalan aliran kenderaan di kawasan terlibat.

Dalam masa sama, pihak kontraktor akan terus memantau keadaan permukaan jalan walaupun ‘expansion joint’ belum dipasang sepenuhnya.
Kerja pemasangan komponen tersebut akan dilakukan secara berperingkat bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan keselamatan dan sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan. – SABAH MEDIA



