KOTA KINABALU: Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun menyeru usaha memperkasa kepimpinan wanita di Sabah terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berkualiti, berwibawa dan berdaya saing.
Menurutnya, jumlah pemimpin wanita di negeri ini masih rendah dan memerlukan pendekatan lebih menyeluruh, termasuk berpandukan dapatan kajian yang dilaksanakan IDS.
“IDS mempunyai data dan hasil kajian jelas menunjukkan keperluan meningkatkan penglibatan wanita dalam kepimpinan. Kita bukan sahaja mahu melihat pertambahan jumlah, tetapi juga memastikan mereka memiliki kualiti serta kelayakan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah, di sini, hari ini.
Azizah yang juga Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata pembentukan pemimpin wanita berkaliber perlu bermula dengan asas komunikasi yang jelas, kefahaman mendalam terhadap isu serta persediaan rapi dalam setiap tanggungjawab.
“Seorang pemimpin mesti jelas dalam pertuturan, memahami isu yang dibawa dan sentiasa membuat persediaan. Program seperti bengkel ini penting kerana menyediakan latihan praktikal seperti pengucapan awam, latihan berkumpulan dan pembentangan.
“Di sinilah nilai kepimpinan, ilmu dan semangat kebersamaan dapat dibentuk, selari dengan peranan pemimpin dalam membawa suara rakyat,” katanya.
Tambahnya, pengalaman turut memainkan peranan penting dalam membina kredibiliti seseorang pemimpin agar lebih diyakini dan dihormati masyarakat.
“Pemimpin perlu berani memikul tanggungjawab selepas menerima mandat. Persediaan rapi sebelum menghadiri program atau berucap mencerminkan tahap intelektual dan kesungguhan.
“Kita tidak boleh bercakap tanpa persediaan kerana ia akan menjejaskan keyakinan terhadap kepimpinan,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan pembelajaran berterusan dalam kalangan pemimpin wanita agar sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.
“Dunia bergerak pantas. Kita perlu sentiasa menambah ilmu, memahami isu semasa dan bersedia menyesuaikan diri. Proses pembelajaran tidak pernah berhenti,” katanya.
Bengkel itu disertai 35 peserta terdiri daripada ahli wanita GRS dari Parlimen Kota Kinabalu, Putatan, Penampang dan Sepanggar.



