SANDAKAN: Sambutan Hari Anzac bukan sahaja memperingati penderitaan dan pengorbanan tawanan perang semasa Perang Dunia Kedua, malah turut mengiktiraf jasa serta keberanian penduduk tempatan Sabah yang membantu mereka dalam keadaan penuh risiko.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, hubungan sejarah antara Australia, Britain dan Malaysia bukan sahaja terbina melalui konflik, tetapi juga melalui nilai kemanusiaan dan belas ihsan yang ditunjukkan sepanjang tempoh getir tersebut.
“Hari ini, ketika kita mengimbau sejarah bersama, kita mengiktiraf bahawa ikatan antara rakyat kita lahir bukan hanya daripada peperangan, tetapi juga daripada sifat kemanusiaan.
“Warisan mereka yang menderita di Sandakan tidak dapat dipisahkan daripada warisan mereka yang membantu mereka untuk terus hidup, walaupun hanya untuk tempoh yang singkat,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee pada Upacara Subuh Hari Anzac di Taman Peringatan Sandakan, di sini, pada Sabtu.
Hajiji berkata, ribuan tawanan perang dari Australia dan Britain mengalami layanan kejam di kem-kem tahanan di seluruh Asia Tenggara, termasuk di Sandakan dan Ranau.
Katanya, kem tahanan di kedua-dua lokasi itu menjadi simbol penderitaan akibat kekejaman seperti kebuluran, buruh paksa dan perarakan maut yang mengorbankan hampir kesemua tawanan.
“Namun, dalam keadaan paling gelap, nilai kemanusiaan tetap wujud apabila penduduk kampung mempertaruhkan nyawa untuk membantu tawanan.
“Membantu mereka adalah satu kesalahan serius yang boleh dihukum dengan pukulan atau kematian, tetapi penduduk tetap melakukannya kerana ia adalah perkara yang betul,” katanya.
Beliau berkata, keberanian penduduk tempatan itu membuktikan bahawa setiap individu mampu membawa perubahan walaupun dalam situasi paling sukar.
“Hari ini, kita menghormati jasa dan pengorbanan semua tawanan perang di sini.
“Sifat kemanusiaan yang ditunjukkan penduduk tempatan menjadi sinar harapan dalam tempoh yang amat perit, dan kenangan itu kekal sebagai ikatan berpanjangan antara rakyat kita,” katanya.



