KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengambil bertindak pantas bagi membantu seorang wanita yang kini berada dalam keadaan koma di Vietnam, dengan usaha membawa pulang mangsa ke tanah air bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, beliau telah mengadakan panggilan video bersama suami mangsa Mohd Jamri Herry,40, bagi mendapatkan perkembangan terkini keadaan isterinya, Rohanna Joseph,34.
Beliau berkata, hasil perbincangan itu mendapati mangsa masih belum sedarkan diri dan memerlukan pemantauan rapi.
“Ketua Menteri telah mengarahkan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) untuk segera menyantuni mangsa serta suaminya sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat Sabah di luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebooknya di sini pada Ahad.
Susulan itu, Pengarah YKS, Datuk Diyanah Abdullah telah menghubungi suami mangsa bagi menyelaras segala keperluan termasuk proses membawa pulang pesakit ke Kota Kinabalu.
Azrul berkata, penyelarasan turut melibatkan keperluan perubatan khas serta pengiring pakar sepanjang penerbangan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan mangsa.
“Dengan mengambil kira keadaan kesihatan semasa, penerbangan pulang dijadualkan pada 30 April 2026,” katanya.
Azrul turut memohon orang ramai mendoakan agar segala urusan dipermudahkan diberikan kesembuhan. –SABAH MEDIA



