Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kewangan termasuklah program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang dilaksanakan secara berterusan dan bersasar.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan bulanan yang disediakan semalam setahun kepada 100,000 orang penerima itu dijangka meningkat kepada 140,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM339.16 juta.
“Inisiatif ini dilaksanakan selari dengan program bantuan di peringkat Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Selain bantuan langsung, usaha menangani kos sara hidup turut diperkasa di peringkat isi rumah. Kerajaan Negeri giat menggalakkan amalan pertanian kendiri melalui program Kebun Dapur bagi membolehkan isi rumah menghasilkan bekalan makanan sendiri.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan perbelanjaan harian, malah dapat meningkatkan daya tahan isi rumah terhadap sebarang kejutan harga mahupun gangguan bekalan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan- Senallang) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Isnin.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga menggalakkan penggunaan produk keluaran tempatan yang bukan sahaja lebih berpatutan, malah mempunyai kualiti yang setanding dengan produk import.
Beliau berkata, langkah itu dapat mengurangkan impak kenaikan harga barangan, sekali gus merangsang permintaan domestik serta menyokong pertumbuhan industri tempatan.
“Bagi mengurangkan beban kos utiliti, beberapa inisiatif telah dilaksanakan, antaranya Program Rebat Bil Elektrik RM40 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dengan eKasih.
“Selain itu, pemberian diskaun 10 peratus ke atas bil elektrik Rumah Kebajikan, Rumah Ibadah dan Institusi Pendidikan Kerajaan dan Separa Kerajaan turut dilaksanakan,” katanya.
Selain itu, Hajiji berkata, diskaun 10 peratus turut diberikan kepada sektor pertanian, akuakultur dan perikanan sebagai langkah menyokong keterjaminan makanan dan kestabilan rantaian bekalan.
“Pada masa yang sama, pelaksanaan Off-Peak Tariff Rider (OPTR) iaitu diskaun 20 peratus bagi penggunaan waktu bukan puncak diteruskan kepada pengguna komersial dan industri voltan rendah untuk mengurangkan beban peniaga kecil-kecilan,” katanya. – SABAH MEDIA



