KOTA KINABALU : Dua daerah di Sabah dilaporkan mengalami cuaca panas tahap berjaga-jaga yang boleh mencecah suhu sehingga 37 darjah celcius.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, dua daerah itu adalah Beaufort dan Telupid.
Selain itu, beberapa kawasan lain di Semenanjung dan Sarawak turut dilaporkan mengalami cuaca sama.
“Terdapat dua kawasan di Sabah dan satu di Sarawak berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu Beaufort dan Telupid di Sabah dan Limbang di Sarawak.
“Terdapat 13 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu Perlis, (Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang, Kota Setar, Kuala Muda & Sik) Kedah, (Kuala Kangsar & Hulu Perak) Perak, (Jeli, Pasir Mas & Machang) Kelantan, (Sepang) Selangor,” menurut kenyataan itu di sini.
Turut dilaporkan mengalami cuaca panas tahap 2 (gelombang haba) adalah di Padang Terap Kedah.
Tahap gelombang haba itu boleh mencapai suhu maksimum harian yang melebihi 37 darjah Celcius hingga 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Orang ramai boleh melayari https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/ untuk mengetahui maklumat terkini status cuaca panas harian. – SABAH MEDIA



