HomeUtamaDUN Sabah : Kerajaan dicadang tubuh Majlis Pengurusan Krisis El Nino, Perang...

DUN Sabah : Kerajaan dicadang tubuh Majlis Pengurusan Krisis El Nino, Perang Teluk

Read Time:1 Minute, 37 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Kerajaan dicadang untuk menubuhkan sebuah Majlis Pengurusan Krisis El Nino dan Krisis Perang Teluk sebagai mekanisme penyelarasan strategik di peringkat negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Abdul Kassim Razali berkata, majlis itu perlu menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kerajaan negeri, agensi persekutuan, pemain industri makanan dan logistik.

Beliau berkata, majlis itu juga perlu menghimpunkan pakar dalam bidang ekonomi, iklim dan keselamatan makanan bagi memastikan tindak balas yang tersusun dan menyeluruh.

“Peranan utama majlis ini adalah untuk menyelaras bekalan serta memastikan ketersediaan stok strategik bagi makanan asas seperti beras, ayam dan keperluan harian lain.

“Dalam masa yang sama, usaha mempelbagaikan sumber import perlu diperkukuh bagi mengelakkan kebergantungan kepada satu negara sahaja.

“Selain itu, majlis ini perlu menggerakkan intervensi bagi mengekang kos serta memperkukuh rantaian bekalan, termasuk mempercepatkan pengedaran hasil tempatan dari kawasan pengeluaran ke pasaran, serta meningkatkan pelaburan dalam kemudahan penyimpanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas ucapan dasar Kerajaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini.

Kassim berkata, pengeluaran tempatan perlu diperkasa melalui bantuan langsung kepada petani dan penternak, pemberian subsidi input, jaminan pembelian hasil serta pelaburan dalam sistem pengairan dan takungan air sebagai langkah menghadapi risiko kemarau.

Menurutnya, majlis itu juga wajar berfungsi sebagai pusat pengumpulan data dan sistem amaran awal yang memantau pergerakan harga global, potensi gangguan bekalan import serta keadaan cuaca dan hasil pertanian tempatan.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap keputusan yang diambil bersifat proaktif dan berasaskan data, bukannya bertindak selepas krisis berlaku.

“Petunjuk sedia ada jelas menunjukkan bahawa Sabah berada dalam kedudukan yang terdedah apabila dua tekanan global ini berlaku secara serentak.

“Tanpa tindakan awal, rakyat berisiko berdepan kenaikan harga makanan yang mendadak, tekanan kos sara hidup yang meluas serta ketidakstabilan bekalan makanan.

“Oleh itu, penubuhan Majlis Pengurusan Krisis El Niño dan Krisis Perang Teluk bukan sekadar satu cadangan, tetapi merupakan satu keperluan mendesak bagi memastikan kestabilan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

166 PATI dihantar pulang ke Filipina

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular