LAHAD DATU: Seramai 166 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui program Pemindahan Tahanan PATI yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah.
JIM Sabah dalam satu kenyataan berkata, program berkenaan dilaksanakan melalui pintu masuk laut Negeri Sabah selepas semua tahanan selesai melalui proses perundangan di Malaysia serta melepasi proses verifikasi dokumen perjalanan oleh pihak Kedutaan Asing di Malaysia.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 118 orang lelaki dewasa, 20 perempuan dewasa, 12 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan terlibat dalam pemindahan berkenaan yang dijalankan melalui Pelabuhan Lahad Datu,” menurut kenyataan itu.
Sehingga kini, seramai 2,183 orang tahanan PATI telah berjaya dipindahkan ke negara asal masing-masing.
Dalam pada itu, JIM Sabah menyeru semua pihak agar lebih peka terhadap persekitaran komuniti serta tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.
Orang ramai turut diminta melaporkan segera sebarang kegiatan PATI kepada saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.



