HomeUtamaDUN Sabah: Sabah kekurangan doktor pakar - Julita

DUN Sabah: Sabah kekurangan doktor pakar – Julita

Read Time:1 Minute, 17 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Kekurangan pakar merupakan satu cabaran besar yang dihadapi oleh semua hospital di seluruh Sabah, kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Julita Majungki.

Beliau berkata, menyedari hakikat tersebut, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sentiasa menggalakkan Pegawai Perubatan di negeri ini untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kepakaran.

“Setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) termasuk hospital dan klinik kesihatan aktif melatih serta menyokong pegawai perubatan untuk mengambil program kepakaran di dalam bidang yang diminati.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memberi keistimewaan meningkatkan kuota Hadiah Latihan Persekutuan (biasiswa) khusus kepada pegawai perubatan yang berkhidmat di Negeri Sabah bagi tujuan pengajian kepakaran,” katanya dalam ucapan pengulungan di Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini.

Tambahnya, bagi menarik minat dan meringankan beban kos berpindah, Bayaran Insentif Penempatan Pedalaman (BIPP) iaitu insentif kewangan diberikan kepada pakar yang ditempatkan di Sabah dan Sarawak.

“KKM telah mengemukakan rayuan semula Bayaran Insentif Wilayah (BIW) iaitu elaun khas yang diberikan kepada penjawat awam yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak. BIW telah dimansuhkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM).

“Sebagai tambahan, KKM juga menyediakan kemudahan tuntutan perpindahan bagi pegawai perubatan yang dilantik secara tetap selepas berkhidmat secara kontrak berkuat kuasa 29 Januari 2026.

“Kemudahan ini membolehkan pegawai perubatan menuntut kos perpindahan seperti pengangkutan barangan, perjalanan dan elaun berkaitan apabila ditempatkan ke Sabah,” katanya.

Menurut Julita, Hospital Tawau menawarkan 23 perkhidmatan pakar dan, merujuk kepada bilangan pakar jantung di Negeri Sabah, terdapat tiga orang pakar perubatan (Kardiologi), enam orang pakar perubatan (Kardiologi) Fellowship, dua orang pakar perubatan Pediatrik (Kardiologi) dan seorang Pakar Pembedahan Kardiotorasik.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah: Larangan ikan koi di Sabah tidak libatkan akuarium, kolam...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular