Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) akan diselaraskan kepada keperluan tenaga kerja dan industri tempatan bagi memenuhi permintaan sektor ekonomi negeri.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai berkata, libat urus telah diadakan dengan semua pihak bagi meminta semua agensi berkaitan menyalurkan info berkaitan.
“Penawaran BKNS adalah selari dengan keperluan tenaga kerja di Sabah. Sepanjang tiga tahun lepas juga tertumpu kepada bidang Teknikal, Perubatan, Kejuruteraan dan Pendidikan.
“Kerajaan Negeri telah meningkatkan peruntukan BKNS daripada RM55 juta kepada RM145 juta pada tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Jabatan Ketua Menteri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini.
Joniston berkata, menerusi peruntukan itu, Kerajaan Negeri akan dapat menaja sekitar 4,000 hingga 5,000 orang pelajar baharu setiap tahun sejak 2023.
Beliau berkata, sekitar 70 peratus daripada penerima BKNS telah mengikuti pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Jumlah pelajar yang telah menerima BKSN dari tahun 2022 hingga 2025 adalah seramai 17,088 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 2,804 orang adalah pelajar berbangsa cina,” katanya. – SABAH MEDIA



