KOTA KINABALU : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis meluluskan empat Rang Undang-Undang (RUU) pada persidangan DUN Sabah di sini.
RUU berkenaan ialah RUU Hari Kelepasan (Pindaan) 2026, RUU Pengangkatan (Pindaan) 2026, RUU Pengurusan Bangunan 2026 serta RUU Tanah (Hakmilik Subsidiari) 2026.
RUU Hari Kelepasan (Pindaan) 2026 dibentangkan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai sebelum diluluskan selepas bacaan ketiga yang dipengerusikan Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Al Hambra Tun Juhar.
Perbahasan melibatkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk ADUN Bugaya, Jamil Hamzah dan ADUN Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Sementara itu, RUU Pengangkatan (Pindaan) 2026 dibentangkan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Mojungki, dengan penyertaan empat ADUN dalam sesi perbahasan sebelum diluluskan dewan.
RUU Pengurusan Bangunan 2026 pula dibentangkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan diluluskan selepas melalui bacaan pertama, kedua dan ketiga yang dikendalikan Timbalan Speaker, Datuk Richard Yong We Kong, dengan penglibatan tujuh ADUN dalam perbahasan.
Bagi RUU Tanah (Hakmilik Subsidiari) 2026, ia dibentangkan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih dan diluluskan selepas dibahaskan oleh lapan ADUN, sebelum keputusan dimuktamadkan oleh Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya.
Terdahulu, persidangan yang bermula pada jam 10 pagi menyaksikan lapan soalan lisan berjaya dijawab kementerian terlibat.
Persidangan ditangguhkan pada jam 5.10 petang.



