HomeUtama108 pelajar cemerlang SPM 2025 Matunggong terima insentif

108 pelajar cemerlang SPM 2025 Matunggong terima insentif

Read Time:2 Minute, 7 Second

MATUNGGONG: Seramai 108 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari kawasan Matunggong menerima insentif sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik mereka dalam satu majlis di Dewan Mini Urusetia Daerah Kecil Matunggong, di sini.

Penerima terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinawantai Kudat, SMK Sikuati dan SMK Sikuati II, selain lapan pelajar asal Matunggong yang kini menuntut di luar daerah.

Insentif yang disalurkan adalah antara RM500 bagi pencapaian 5A hingga RM1,000 kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 10A.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, program yang diperkenalkan sejak 2019 itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong kecemerlangan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau turut memuji pencapaian pelajar terbaik termasuk mereka yang belajar di luar daerah, yang berjaya memperoleh sehingga 10A.

“Sepanjang tujuh tahun pelaksanaan program ini, jumlah pelajar cemerlang di Matunggong menunjukkan peningkatan konsisten dan tidak pernah menurun.

“Hari ini, kita melihat semakin ramai pelajar mencapai keputusan cemerlang termasuk 7A, 8A malah sehingga 10A, yang jelas membuktikan sokongan berterusan mampu menghasilkan kemajuan sebenar,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Julita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong mengingatkan pelajar bahawa kejayaan selepas alam persekolahan bergantung kepada pilihan yang dibuat.

“Masa depan ditentukan oleh pilihan harian. Pilih hidup dengan tujuan, utamakan disiplin berbanding motivasi, dan bina sahsiah berbanding mengambil jalan mudah,” katanya.

Berdasarkan pencapaian sekolah, SMK Pinawantai merekodkan 11 pelajar memperoleh 5A, tujuh (6A), lima (7A), dua (8A) dan empat (9A).

SMK Sikuati pula mencatatkan 18 pelajar memperoleh 5A, 12 (6A) dan tiga (7A), manakala SMK Sikuati II merekodkan 16 pelajar (5A), lima (6A), lima (7A), seorang (8A) dan empat (9A).

Antara pencapaian membanggakan ialah dua pelajar dari luar daerah yang memperoleh 10A, sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi akademik pelajar Matunggong.

Sementara itu, Clariryan Fadrer Janius dari SMK Pinawantai yang memperoleh 9A berkata disiplin dan konsistensi menjadi kunci kejayaannya.

“Saya berasa sangat gembira dan bangga atas usaha keras ini. Disiplin, konsistensi serta fokus adalah kunci untuk mencapai keputusan yang baik,” katanya.

Charlotte Ivenne Lomius dari SMK Sikuati II yang memperoleh 8A pula berkata beliau kekal fokus walaupun berdepan cabaran sebagai pelajar asrama.

“Saya memastikan sentiasa fokus semasa pembelajaran dan memahami sepenuhnya apa yang diajar walaupun berdepan kekangan,” katanya.

Ruth Nathalie Juining dari SMK Sikuati yang memperoleh 7A berkata ibu bapanya yang juga guru menjadi sumber inspirasi utama.

“Ibu bapa memberi dorongan untuk berjaya, dan saya berharap dapat menjadi seorang guru seperti mereka serta mengajar subjek yang diminati,” katanya.

Program insentif berkenaan bertujuan memberi pengiktirafan kepada pencapaian pelajar serta menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

RELATED ARTICLES
Utama

Ops Tiris 4.0: 450 liter petrol dirampas, lelaki tempatan ditahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular