KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS) dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik berkaitan pertahanan dan keselamatan negara.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, Kertas Putih Pertahanan bukan sekadar dokumen dasar, sebaliknya merupakan kompas strategik negara yang membimbing Malaysia untuk terus kekal sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur dalam landskap global yang semakin mencabar.
“Keselamatan negara hari ini bukan lagi tanggungjawab satu institusi semata-mata, tetapi merupakan usaha kolektif yang memerlukan penglibatan kerajaan, sektor swasta, akademia dan masyarakat secara menyeluruh.
“Kita kini berhadapan dengan realiti keselamatan yang semakin kompleks, meliputi ancaman bukan sahaja dalam bentuk ketenteraan konvensional, tetapi juga keselamatan maritim, jenayah rentas sempadan serta ancaman bukan tradisional yang merentasi ruang fizikal dan digital.
“Sebagai institusi pendidikan tinggi, UMS komited untuk menyumbang melalui penyelidikan berkualiti, wacana ilmiah yang kritikal serta pembentukan generasi muda yang berpengetahuan, beretika dan bertanggungjawab terhadap negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jerayawara Kertas Putih Pertahanan yang diadakan di Dewan Resital UMS, di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.
Sementara itu, Ketua Eksekutif MiDAS, Laksamana Muda Datuk Yusne Mokhtar berkata, pemeteraian MoU tersebut merupakan langkah tepat dalam memperkukuh penyelidikan serta perkongsian ilmu, selaras dengan pengiktirafan UMS sebagai “Brain of Borneo”.
“MiDAS telah melaksanakan siri jerayawara Kertas Putih Pertahanan sejak 2021 bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai agenda pertahanan negara, termasuk dalam kalangan generasi muda yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan.
“Kertas Putih Pertahanan merangka visi ‘Malaysia yang Selamat, Berdaulat dan Makmur’ berteraskan tiga fokus utama iaitu Cegah Rintang Bersepadu, Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) dan Perkongsian Berwibawa,” katanya.
Tambah Yusne kerajaan menyasarkan pelaburan pertahanan mencecah 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, selain memberi fokus kepada pemodenan aset, integriti perolehan serta pembangunan industri pertahanan tempatan.
“Peranan ESSCOM amat kritikal dalam memastikan keselamatan wilayah ini terus terpelihara, dan ruang kerjasama antara MiDAS dan UMS perlu dimanfaatkan bagi menghasilkan idea serta cadangan praktikal kepada Kementerian.
“Sabah merupakan lokasi strategik penempatan aset pertahanan penting negara, termasuk kemudahan pangkalan kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang mencerminkan kepentingan negeri ini dalam arkitektur pertahanan nasional,” katanya.
Melalui perjanjian tersebut, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan berkaitan pertahanan dan keselamatan Sabah, pembangunan kepakaran akademik, penerbitan bersama serta penyediaan latihan industri kepada pelajar.
Selain itu, kerjasama berkenaan turut merangkumi pembangunan pelan strategik, penghasilan syor dasar serta penganjuran program ilmiah seperti simposium, persidangan dan sesi wacana.
Majlis tersebut menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara UMS dan Kerajaan Malaysia melalui MiDAS yang ditandatangani oleh Kasim manakala pihak kerajaan diwakili oleh mantan Ketua Eksekutif MiDAS, Leftenan Jeneral Dato’ Pahlawan Zahani Zainal Abidin TUDM.
Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS turut memainkan peranan signifikan sebagai penyelaras utama dalam menjayakan program di bawah kepimpinan Penyelarasnya, Profesor Dr. Lai Yew Meng yang turut merupakan Felo MiDAS.



