Oleh Normimie Diun
PAPAR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegur dengan sindiran pihak tertentu khususnya Parti Warisan agar tidak “potong corner” dalam isu tuntutan hasil 40 peratus Sabah demi kepentingan politik sempit.
Beliau berkata demikian bagi mengulas usul Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming semasa sidang DUN baru-baru ini mendakwa kerajaan hari ini tidak tegas memperjuangkan hak 40 peratus Sabah.
Menurut Armizan, tindakan membawa usul persendirian berhubung perkara itu disifatkan sebagai bermotifkan politik, selain berpotensi mengelirukan rakyat terhadap pendirian sebenar kerajaan negeri.
“Jangan potong corner dalam isu besar seperti ini. Perjuangan 40 peratus bukan pentas untuk mencari populariti atau muncul sebagai ‘hero’,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Taklimat Status Semasa Projek-projek Pembangunan Daerah Papar di sini, hari ini.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar, menegaskan, dakwaan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menolak usul berkaitan 40 peratus adalah tidak tepat kerana keputusan tersebut dibuat oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Menurutnya, persepsi bahawa kerajaan negeri dan ADUN lain menolak perjuangan itu juga adalah tersasar jauh daripada fakta sebenar.
“Kerajaan negeri konsisten memperjuangkan hak ini, bukan sahaja di dalam DUN tetapi juga melalui saluran perundangan di mahkamah,” katanya.
Beliau menjelaskan, melalui Pejabat Peguam Besar Sabah, kerajaan negeri telah mengemukakan hujahan dan afidavit balasan yang menegaskan tuntutan 40 peratus sebagai hak perlembagaan yang wajib ditunaikan oleh kerajaan Persekutuan.
Dalam perkembangan sama, Armizan berkata, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun turut membentangkan kemajuan rundingan di DUN termasuk sasaran meningkatkan bayaran interim daripada RM600 juta kepada sekurang-kurangnya RM3 bilion.
“Ini bukti jelas ada komitmen dan usaha berterusan, bukan rundingan senyap tanpa hasil seperti didakwa,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa langkah membawa usul persendirian itu juga bertujuan menutup kesilapan lalu kerajaan Warisan ketika mentadbir Sabah dari 2018 hingga 2022.
Antara yang dibangkitkan termasuk pendirian Ketua Menteri ketika itu pada Ogos 2019 yang menyatakan tidak wajar membawa isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke mahkamah.
Selain itu, katanya, kerajaan Warisan turut bersetuju menerima cadangan bayaran hanya RM53.4 juta pada Oktober 2019 melalui Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Itu fakta yang direkodkan. Jadi jangan sekarang cuba gambarkan diri sebagai pejuang paling hadapan,” katanya.
Sehubungan itu, Armizan mencadangkan agar satu usul rasmi dibawa oleh ADUN-ADUN Penyokong Kerajaan (BBC) yang diketuai oleh Datuk Masiung Banah (ADUN Kuamat) pada sidang DUN akan datang sekiranya rundingan masih belum dimuktamadkan.
Katanya, usul itu penting untuk merekodkan pendirian tegas kerajaan negeri serta menjelaskan kronologi sebenar perjuangan tuntutan 40 peratus kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor akan terus komited memperjuangkan hak Sabah.
“Kerajaan hari ini bukan berjuang untuk RM53.4 juta, tetapi berbilion ringgit selaras dengan hak perlembagaan negeri,” tegasnya.
Armizan turut mengiktiraf komitmen kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara terbuka mengiktiraf hak 40 peratus Sabah di Parlimen.
Menurutnya, pengiktirafan itu merupakan perkembangan penting berbanding pentadbiran terdahulu, dan membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih adil.
“Kita harap rundingan ini dapat dimuktamadkan segera kerana Sabah memerlukan tambahan peruntukan bagi menyelesaikan isu rakyat termasuk bekalan air dan infrastruktur,” katanya.



