HomeUtama56 kes penyakit akibat cuaca panas direkod, dua kematian dilaporkan – KKM

56 kes penyakit akibat cuaca panas direkod, dua kematian dilaporkan – KKM

Read Time:2 Minute, 2 Second

KUALA LUMPUR : Sebanyak 56 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan di seluruh negara sepanjang tempoh bermula 1 Januari hingga 3 Mei tahun ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, dalam antara kes penyakit dikesan terdiri daripada 47 kes kelesuan haba, empat kes strok haba exertional, empat kes strok haba, dan satu kes kekejangan haba.

Menurut KKM, sebanyak dua kes kematian akibat strok haba turut dilaporkan pada tahun ini, melibatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang tertinggal di dalam kenderaan dan seorang lelaki berusia 42 tahun yang menyertai aktiviti maraton di Pulau Pinang.

Kedua-dua kes berlaku ketika keadaan cuaca berada di bawah Tahap Amaran 1,  namun, faktor risiko utama dikenal pasti adalah pendedahan kepada haba melampau dalam persekitaran tertutup dan aktiviti fizikal lasak dalam tempoh yang panjang, yang menyebabkan dehidrasi teruk serta kegagalan kawal atur suhu badan.

“Analisa menunjukkan bahawa 58 peratus kes penyakit berkaitan cuaca panas adalah berkait dengan aktiviti fizikal semasa cuaca panas. 

” Daripada jumlah tersebut, hampir separuh melibatkan aktiviti sukan dan olahraga seperti merentas desa, latihan sukan, dan maraton, manakala sebahagian lagi melibatkan latihan fizikal berintensiti tinggi oleh pasukan keselamatan dan operasi,” menurut kenyataan itu di sini.

Sehubungan itu, KKM ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan semasa cuaca panas.

Ia termasuklah menghadkan aktiviti fizikal lasak dan pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas

“Sekiranya terpaksa bekerja di bawah cuaca panas, banyakkan masa untuk berehat di tempat teduh bagi menyejukan badan;

“Selain itu, perbanyakkan minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga bagi memastikan badan kekal terhidrat serta gunakan pelindung diri seperti topi, payung serta pakaian yang ringan dan berwarna cerah,” tambah kenyataan itu lagi.

KKM turut menasihati agar orang ramai dapat memastikan golongan berisiko seperti bayi, kanak-kanak, warga emas, dan individu berpenyakit kronik mendapat hidrasi mencukupi dan dipantau.

“Elakkan meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kenderaan; dan dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti pening, mual, kekejangan otot, atau keletihan melampau,” menurut kenyataan itu lagi.

KKM juga menggesa semua pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan serta pusat jagaan agar mengambil langkah pencegahan sewajarnya, khususnya dalam merancang dan melaksanakan aktiviti luar bagi mengurangkan risiko penyakit berkaitan haba.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang METMalaysia (https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca- panas/) dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM (https://infosihat.moh.gov.my/cuaca-panas.html).

RELATED ARTICLES
Utama

Dunia Seni Malaysia Kehilangan Jalil Hamid

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular