Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuannya yang masih bawah umur.
Dalam dua kes pertama, tertuduh, berusia 31 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan atas dakwaan melakukan kesalahan tersebut terhadap anaknya yang berusia 13 tahun.
Tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi pertuduhan yang sama terhadap anaknya yang berusia 12 tahun di hadapan Hakim Hurman Hussain.
Kesalahan ini didakwa dilakukan di sebuah rumah di sini pada jam 4 petang, 26 Disember 2025.
Empat pertuduhan tersebut masing-masing di bawah Seksyen 14 (b) dan 14 (a), kedua-duanya Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 (1) Akta yang sama.
Setiap pertuduhan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta hukuman penjara tambahan sehingga lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada dua tahun, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 16 Jun untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.
Timbalan pendakwa raya Bryan Francis dan Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir mendakwa kes tersebut manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



