HomeUtamaKDCA Semenanjung digesa perkasa promosi pelancongan domestik Sabah

KDCA Semenanjung digesa perkasa promosi pelancongan domestik Sabah

Read Time:1 Minute, 42 Second

MELAKA :  Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di Semenanjung digesa untuk memainkan peranan lebih proaktif dalam menyokong usaha agresif Sabah melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bagi mempromosikan pelancongan domestik.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai berkata, ia khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan global termasuk konflik di Timur Tengah.

Beliau yang juga Pengerusi STB berkata, pendekatan itu penting dengan memanfaatkan keunikan budaya, tradisi dan warisan sebagai tarikan utama negeri Sabah.

“Dalam situasi ini, kita perlu memperkukuh pelancongan domestik dengan mengetengahkan kekuatan Sabah yang berasaskan kepelbagaian budaya, tradisi serta warisan kulinari kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Kaamatan anjuran KDCA Melaka, di sini.

Selain masyarakat Sabah di Melaka, sambutan Kaamatan yang menampilkan pelbagai acara kebudayaan itu turut disertai masyarakat tempatan pelbagai kaum.

Menurut Joniston, Sabah mempunyai kelebihan tersendiri yang mampu menarik pelancong dari seluruh negara, termasuk kepelbagaian etnik, keindahan alam semula jadi serta pengalaman budaya yang autentik.

Beliau turut memaklumkan bahawa Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, telah merakamkan klip video khas bagi mempromosikan Pesta Kaamatan ke peringkat antarabangsa, selari dengan usaha memperkenalkan perayaan itu sebagai acara budaya unik kepada dunia.

Katanya, STB akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk komuniti budaya bagi memastikan sektor pelancongan Sabah kekal berdaya tahan dan kompetitif.

Sehubungan itu, beliau menyeru tujuh cawangan KDCA di Semenanjung termasuk Putrajaya, Lembah Klang, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan agar memainkan peranan sebagai duta kecil dalam memperluaskan promosi Sabah.

“Jaringan komuniti ini boleh membantu memperluaskan capaian promosi dan menarik lebih ramai pelancong domestik ke Sabah,” katanya.

Joniston turut menekankan bahawa tema Kaamatan tahun ini, “Kaamatan Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, selari dengan usaha merapatkan hubungan antara komuniti pelbagai kaum melalui platform budaya.

Beliau menggalakkan KDCA di Semenanjung agar terus memperluaskan jemputan kepada masyarakat setempat daripada pelbagai latar belakang untuk turut serta dalam sambutan Kaamatan.

“Pendekatan ini bukan sahaja memperkenalkan budaya Sabah dengan lebih meluas, tetapi juga memperkukuhkan semangat perpaduan dan keharmonian,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat Sabah di perantauan agar terus menyokong dan menghadiri acara kebudayaan anjuran komuniti lain sebagai tanda hormat, keterbukaan dan semangat kebersamaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki dipenjara 14 tahun, dua sebatan amang seksual dua kanak-kanak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular