HomeUtamaPesta Kaamatan Penampang tampil pelbagai acara menarik 16 Mei ini

Pesta Kaamatan Penampang tampil pelbagai acara menarik 16 Mei ini

Read Time:1 Minute, 30 Second

PENAMPANG: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang yang akan berlangsung 16 Mei ini di Buhavan Square, di sini.

Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Noemi Dyena John Tren berkata, sambutan berkenaan akan bermula seawal jam 8 pagi hingga 6 petang dengan pelbagai pengisian menarik untuk pengunjung.

Beliau berkata, pihak penganjur telah melakukan persiapan rapi termasuk penyelarasan logistik bagi memastikan kelancaran perjalanan program sepanjang sambutan berlangsung.

“Bagi memastikan keselesaan dan keselamatan orang awam, pihak Majlis Perbandaran Penampang melakukan penyelarasan logistik secara menyeluruh antaranya menyediakan kawasan parkir yang mencukupi untuk tetamu kehormat serta orang awam.

“Dari segi keselamatan dan kawalan lalu lintas, pihak kami bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Jabatan Kesihatan yang sentiasa bersiap sedia di tapak acara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi temu bual Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang, pada Selasa.

Noemi berkata, sambutan tahun ini membawa tema “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian” yang diharap mampu memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di daerah itu.

“Saya berharap agar nilai-nilai keharmonian ini terus terpelihara melalui sambutan perayaan yang penuh bermakna ini,” katanya.

Pelbagai acara menarik turut disusun sepanjang sambutan termasuk sukan tradisional, pameran reruai agensi kerajaan, jualan produk tempatan, cabutan bertuah, persembahan artis dan pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Daerah Penampang.

Majlis perasmian sambutan itu akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick.

Sebelum sambutan utama berlangsung, beberapa acara sampingan turut diadakan termasuk Pertandingan Sugandoi pada 7 Mei 2026 di MSGR Wachter Hall, St Michael’s Parish Penampang.

Ia akan disusuli dengan Pertandingan Randawi Tavantang Kaamatan Daerah Penampang pada 9 Mei 2026 di Ming Garden Hotel.

Sambutan Pesta Kaamatan saban tahun menjadi platform penting dalam memelihara warisan budaya masyarakat Kadazandusun selain mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan rakyat berbilang kaum di Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Wanita didakwa jalankan pusat asuhan tidak berdaftar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular