Oleh J Evachel John
BELURAN: Kejayaan wakil Beluran menjuarai Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri Sabah tahun lalu menjadi pembakar semangat kepada daerah itu untuk terus melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam arena seni suara.
Pengerusi Sugandoi Daerah Beluran, Peter Anderson Nianti berkata, kemenangan Kimberley Myra Terence pada tahun 2025 membuktikan bahawa Beluran juga mempunyai bakat dan potensi besar untuk menyerlah di pentas negeri.
Menurutnya, pencapaian itu bukan sekadar kejayaan individu, tetapi hasil usaha bersama, sokongan masyarakat serta kerjasama erat semua pihak yang terlibat.
“Tahun lalu, kita telah menyaksikan satu sejarah yang cukup membanggakan. Nama Beluran yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai “dark horse”, akhirnya berjaya mencipta kejayaan di pentas negeri.
“Melalui bakat luar biasa dan dedikasi yang tinggi, wakil Beluran, Kimberley, telah dinobatkan sebagai Juara Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025.
“Kemenangan ini bukan sekadar kemenangan individu, tetapi kemenangan seluruh warga Beluran….kemenangan kepada semangat, kepada usaha, dan kepada keyakinan bahawa tiada yang mustahil jika kita bersatu hati,” katanya ketika berucap sempena pertandingan akhir Sugandoi Terbuka, Songkotoun dan Dazanak peringkat daerah Beluran pada Rabu.
Peter berkata, pentas Sugandoi perlu dilihat sebagai ruang untuk generasi muda menemukan jati diri, mengasah bakat dan mengangkat warisan budaya melalui seni suara.
“Pentas ini bukan sekadar untuk mencari juara, tetapi untuk menemukan jati diri, mengasah bakat, dan mengangkat warisan kita melalui suara dan jiwa.
“Nyanyilah bukan sekadar dengan suara, tetapi dengan hati. Sampaikan lagu bukan sekadar melodi, tetapi sebagai cerita tentang siapa kita, dari mana kita datang, dan ke mana kita ingin pergi.
“Jangan gentar dengan gelaran, jangan goyah dengan persaingan kerana setiap langkah di pentas ini adalah satu kemenangan terhadap rasa takut, dan kemenangan dalam perjalanan menjadi versi terbaik diri sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Peter turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Induk Perayaan Kaamatan Daerah Beluran di bawah pimpinan Roger Appolonius serta Jawatankuasa Induk Pelaksana yang diterajui Rafael Lindan atas komitmen dan sokongan dalam menjayakan pertandingan tersebut.
Katanya, kejayaan penganjuran Sugandoi Kaamatan Beluran turut didorong oleh semangat kebersamaan serta keikhlasan seluruh jawatankuasa pelaksana yang bertungkus-lumus mencurah tenaga, masa dan idea.
“Walaupun kita tidak dapat lari daripada pelbagai isu dan cabaran yang saban tahun akan timbul, namun satu perkara yang pasti, dengan kerjasama erat antara wakil kita, jawatankuasa tempatan, dan sokongan para pemimpin, apa yang dulunya dianggap mustahil, akhirnya menjadi suatu kenyataan,” katanya.
Dalam pertandingan itu, Farahzidah Husrin, Roger Sebastian Enty dan Angel Pheobbe Chrisandra Christopher masing-masing muncul juara bagi pertandingan akhir Sugandoi Terbuka, Songkotoun dan Dazanak.






