HomeUtamaKekangan kewangan bukan halangan untuk cipta kejayaan SPM 9A+

Kekangan kewangan bukan halangan untuk cipta kejayaan SPM 9A+

Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

RANAU: Kekangan kewangan bukan penghalang buat seorang pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Sabah untuk mencipta kejayaan apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Azwa Dania Samsul,18, yang merupakan anak kepada pengusaha inap desa di Kundasang berkata, kejayaan itu dicapai hasil disiplin, strategi pembelajaran yang sesuai serta sokongan berterusan daripada keluarga.

Anak sulung dari tiga beradik itu percaya SPM bukan sekadar mengukur siapa paling bijak, sebaliknya siapa yang mampu menyusun strategi pembelajaran dengan baik.

“Bagi saya, SPM bukan untuk tunjuk siapa lagi pandai, tetapi siapa yang lebih berkebolehan mengatur strategi belajar.

“Saya banyak cuba kaedah belajar yang sesuai dengan diri sendiri termasuk mengenal pasti waktu paling fokus dan cara pembelajaran paling berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sini pada Khamis.

Majlis itu disempurnakan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin.

Azwa berkata, antara teknik yang digunakan ialah menghasilkan akronim sendiri, mencipta jalan cerita bagi subjek Biologi selain belajar secara berkumpulan bersama rakan-rakan.

“Saya juga buat lagu bersama kawan-kawan dan ajar orang lain menggunakan akronim yang saya cipta supaya ilmu itu lebih mudah diingati,” katanya.

Beliau turut mengakui menggunakan buku terpakai dan bahan kitar semula untuk membuat nota sepanjang tempoh persekolahan bagi tujian berjimat cermat.

Pelajar itu turut memahami keadaan keluarganya yang hanya bergantung kepada pendapatan inap desa untuk menampung kehidupan dan pendidikan anak-anak.

“Sebagai anak kepada pengusaha inap desa, saya faham pendapatan keluarga tidak menentu. Bila ada duit, kami akan utamakan keperluan penting dahulu termasuk pembelian buku dan keperluan sekolah,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Samsul Sinun,44, berkata, perusahaan inap desa yang diusahakan keluarga di Kampung Mesilau kini menjadi sumber pendapatan utama selepas beliau berhenti kerja sebagai kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kira-kira dua tahun lalu.

“Saya pernah bekerja di KPDN selama 18 tahun, tetapi berhenti kerja dan kini fokus mengusahakan inap desa untuk menampung keperluan keluarga serta pendidikan anak-anak,” katanya.

Menurutnya, pendapatan daripada inap desa tidak menentu kerana bergantung kepada musim pelancongan dan kehadiran pengunjung.

“Kadang-kadang ada juga tempoh tiada tetamu datang, tetapi sebagai ibu bapa, apa juga keadaan pendapatan, keutamaan tetap diberikan kepada pendidikan anak-anak kerana itu aset paling penting,” katanya.

Anaknya  kini merancang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Hayat sama ada melalui program asasi di Universiti Malaya atau matrikulasi Labuan selepas selesai membuat permohonan ke institusi pengajian tinggi. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Laporan polis dibuat kes scam guna nama Ahli Parlimen Papar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular