HomeUtamaKaamatan platform perkukuh perpaduan, pelihara warisan budaya Sabah

Kaamatan platform perkukuh perpaduan, pelihara warisan budaya Sabah

Read Time:1 Minute, 29 Second

NABAWAN : Sambutan Pesta Kaamatan terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan, keharmonian serta memelihara warisan budaya masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, sambutan itu bukan sekadar perayaan tradisi masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) sebaliknya mencerminkan semangat kebersamaan selain menjadi medium penyatuan masyarakat.

“Kaamatan membawa makna yang lebih besar daripada sekadar perayaan tahunan kerana ia melambangkan kekuatan perpaduan, identiti budaya dan keharmonian masyarakat.

“Ia bukan sahaja sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian dan rezeki yang dikurniakan malah menjadi simbol penyatuan masyarakat serta medium memperkukuh semangat gotong-royong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Nabawan dan Daerah Kecil Pagalungan Tahun 2026 di sini, pada Sabtu.

Abdul Ghani berkata, tema sambutan tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat dalam mengekalkan warisan budaya yang diwarisi turun-temurun.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan daerah Nabawan dan Pagalungan akan terus diberi perhatian bagi memastikan kawasan berkenaan tidak ketinggalan daripada arus pembangunan semasa.

“Antara isu utama yang terus menjadi keutamaan ialah pemilikan tanah penduduk kampung, penyediaan infrastruktur asas, kebajikan masyarakat serta akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak di kawasan luar bandar.

“Usaha berterusan akan dilaksanakan supaya pembangunan dapat dinikmati rakyat secara inklusif, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sambutan Kaamatan perlu dijadikan platform untuk mendekatkan generasi muda dengan warisan budaya, di samping membuka peluang pembangunan ekonomi melalui sektor pelancongan.

“Daerah Nabawan dan Pagalungan mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan budaya yang boleh dimanfaatkan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat.

“Semoga masyarakat supaya terus memelihara perpaduan dan keharmonian sebagai asas kestabilan sosial serta pembangunan mampan untuk generasi akan datang,” tambahnya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan tersebut.

RELATED ARTICLES
Utama

Perpaduan rakyat Sabah perlu terus dipelihara – Julita

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular