HomeUtamaLelaki maut terkena renjatan elektrik di atas bumbung

Lelaki maut terkena renjatan elektrik di atas bumbung

Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di atas bumbung sebuah restoran makanan laut di Sepanggar, di sini, dalam kejadian petang Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam kira-kira jam 1.00 petang semalam (9 Mei) memaklumkan terdapat seorang lelaki terbaring tidak sedarkan diri di atas bumbung premis berkenaan.

Menurutnya, sepasukan polis bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta pihak Sabah Electricity Sdn Bhd telah digerakkan ke lokasi bagi tindakan keselamatan dan siasatan lanjut.

“Pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan dari Hospital Likas mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam lebih kurang 3.02 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat.

Hasil siasatan awal di lokasi mendapati mangsa dipercayai cuba memotong wayar elektrik di atas bumbung sebelum terkena renjatan elektrik. Pemeriksaan turut menemui kesan terbakar dan melecur pada jari kanan mangsa.

Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan tiada unsur jenayah dikesan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Luyang pada hari yang sama, seorang lelaki tidak dikenali turut ditemukan meninggal dunia di belakang sebuah rumah.

Syed Lot berkata, Balai Polis Luyang menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.30 petang daripada pengadu yang memaklumkan penemuan lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan berkenaan.

Katanya, pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II mengesahkan lelaki itu meninggal dunia pada jam 6.34 petang.

“Hasil pemeriksaan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kota Kinabalu bersama pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) mendapati tiada unsur jenayah pada tubuh mangsa.

“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat dan kes turut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.

RELATED ARTICLES
Utama

KKPIS bimbang Akta 860 hakis kuasa autonomi Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular