KUNAK: Sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna menjalankan pemeriksaan di sekitar daerah ini bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.
KPDN Sabah berkata pemeriksaan tersebut melibatkan premis pasar raya, kedai runcit serta stesen minyak.
“Hasil pemantauan mendapati tiada aktiviti pengisian minyak petrol atau diesel ke dalam gelen tanpa permit dikesan.
“Bekalan minyak diesel juga didapati mencukupi dan tiada penjualan tanpa lesen dikesan sepanjang operasi dijalankan,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Selain itu, pemeriksaan ke atas premis mendapati kesemua peniaga mematuhi peraturan termasuk paparan tanda harga, penggunaan alat timbang yang sah serta pematuhan terhadap harga minyak masak yang ditetapkan.
“Bekalan minyak masak paket juga didapati mencukupi dan mudah diperolehi,” tambahnya.
KPDN berkata, sebarang aduan dan pertanyaan boleh dibuat melalui saluran rasmi Kementerian itu.




