HomeUtama'Saya mahu lihat Kaabah,Masjidil Haram' – Jemaah haji termuda Sabah

‘Saya mahu lihat Kaabah,Masjidil Haram’ – Jemaah haji termuda Sabah

Read Time:1 Minute, 47 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : “Bila saya pergi sana, memang saya mahu lihat Kaabah dan suasana Masjidil Haram,” kata Muhamad Azmel Wasili,16.

Anak bongsu dari enam beradik itu merupakan antara bakal jemaah haji termuda negeri ini yang terpilih untuk menunaikan ibadah haji bagi musim haji 1447H/2026M.

Ketika ditemui Sabah Media, Azmel mengakui rasa gembira apabila dapat melaksanakan ibadah haji bersama semua ahli keluarganya dan peluang menunaikan rukun Islam kelima itu merupakan satu rezeki besar yang amat disyukurinya.

Azmel bersama kakaknya pada majlis itu.

“Alhamdulillah, saya rasa gembira dapat melaksanakan ibadah haji pada usia muda,” katanya ketika ditemui pada majlis mengucapkan selamat berangkat kepada jemaah haji Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Isnin.

Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman dan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Azmel berkata, keterujaannya untuk berada di Masjidil Haram semakin bertambah selepas mendengar pengalaman rakan-rakan yang pernah ke sana.

“Mereka kata suasana di Masjidil Haram sangat tenang, rasa macam semua masalah hilang,” katanya.

Remaja itu turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapanya yang membuka akaun simpanan Lembaga Tabung Haji (TH) sejak beliau masih kecil.

Katanya, wang simpanan daripada duit raya tahunan serta hadiah pertandingan yang diterimanya selama ini turut dimasukkan ke dalam akaun berkenaan sebagai persediaan untuk masa depan.

“Pertamanya saya ingin berterima kasih kepada ibu dan ayah sebab daftarkan saya dekat Tabung Haji sejak kecil,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar sebuah maahad tahfiz di Padang itu mengakui pada awalnya berdepan dilema apabila menerima tawaran menunaikan haji ketika sedang menduduki peperiksaan semester.

“Saya dua hati sebab tengah fokus peperiksaan , tiba-tiba dapat tawaran pergi haji.  Tetapi selepas berbincang dengan pihak sekolah, saya diberikan pengecualian khas dan peperiksaan akan diteruskan selepas selesai menunaikan ibadah haji.

“Saya sudah bincang dengan guru-guru dan peperiksaan ditundakan selepas saya balik daripada haji,” katanya.

Azmel turut ditemani bapanya Wasili Idang,57, dan ibunya Jumainah Jaafar,55, selain adik-beradiknya iaitu Anis Maisara Wasili 28,Aina Mardhiah Wasili,26, Alya Maizah Wasili,24,Alysa Marina Wasili,20,Amira Mastura Wasili,18 dan Muhamad Azmel Wasili,16 serta abang iparnya Muhammad Aslam Jubair,30. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Isu sekolah daif tidak wajar diputarbelit demi politik – James

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular