Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Seramai 141 bakal jemaah haji dari negeri ini menjadi kumpulan terakhir dari Sabah yang berlepas ke Tanah Suci hari ini, sekali gus melengkapkan penghantaran keseluruhan 1,195 jemaah haji negeri ini bagi musim haji 1447H/2026M.
Penerbangan KT87 menggunakan pesawat khas AMAL yang dikendalikan oleh Malaysia Airlines itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 12.30 tengah hari menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai destinasi transit.
Kesemua jemaah dijadualkan meneruskan penerbangan terus ke Jeddah pada jam 6.05 petang waktu Malaysia dan dijangka tiba pada jam 10 malam waktu tempatan Arab Saudi.

Majlis pelepasan kumpulan terakhir itu disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam
Beliau berkata, penghantaran kumpulan terakhir itu menandakan semua bakal jemaah haji dari Sabah telah berjaya dihantar ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima.
“Alhamdulillah, urusan penghantaran jemaah haji Sabah tahun ini berjalan lancar hasil kerjasama semua agensi yang terlibat termasuk Lembaga Tabung Haji, syarikat penerbangan dan petugas terlibat,” katanya.

Beliau turut menasihatkan para jemaah supaya sentiasa menjaga kesihatan, mematuhi segala arahan petugas serta memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah sepanjang berada di Tanah Suci. – SABAH MEDIA



