KOTA KINABALU: Tanaman padi tanah kering kini menjadi antara fokus utama Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) dalam usaha memperkukuh sekuriti makanan negeri.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pendekatan itu mempunyai potensi besar sebagai alternatif kepada penanaman padi sawah, khususnya di kawasan yang tidak mempunyai sistem pengairan mencukupi.
Menurutnya, kementerian kini merancang memperkenalkan kaedah penanaman padi tanah kering secara lebih meluas termasuk menggunakan pasu dan polybag di kawasan sekitar rumah.
“Kita sedang bercadang memperkenalkan tanaman padi tanah kering yang boleh diusahakan di sekitar rumah termasuk dalam pasu atau polybag.
“Sekiranya kajian varieti yang sesuai selesai, kita akan lancarkan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Kaamatan 2026 di ruang legar Wisma Pertanian Sabah, di sini, pada Isnin.
Jamawi berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa Inisiatif Kebun Dapur yang mula menunjukkan hasil positif dalam kalangan masyarakat luar bandar.
“Saya melihat dalam tempoh tiga hingga empat bulan ini, apabila kita mempromosikan kebun dapur, sudah ada petani dan penduduk kampung yang mencuba menanam padi tanah kering di sekitar rumah mereka,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Pertanian sebelum ini turut menjalankan kajian terhadap beberapa varieti padi yang sesuai ditanam tanpa memerlukan penggunaan air yang banyak.
Katanya, hasil kajian itu akan dimanfaatkan bagi memperluaskan lagi pelaksanaan tanaman berkenaan di seluruh Sabah.
Jamawi berkata, usaha itu penting memandangkan Sabah masih bergantung tinggi kepada import beras yang mencecah sekitar 80 peratus.
“Apabila berlaku krisis global seperti konflik atau kenaikan kos pengangkutan, bekalan makanan boleh terjejas. Jadi kita perlu bersiap sedia dari sekarang,” katanya.
Menurutnya, tanaman padi tanah kering juga sesuai dilaksanakan di kawasan kategori K3 yang bergantung sepenuhnya kepada air hujan.
“Kawasan K3 ini tidak mempunyai sistem pengairan lengkap, jadi pendekatan tanaman padi tanah kering adalah antara solusi terbaik untuk dimanfaatkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian turut mengarahkan semua agensi berkaitan supaya mempergiat usaha mencari pendekatan baharu bagi memastikan bekalan makanan negeri sentiasa mencukupi.
Katanya, selain padi, kerajaan juga memberi tumpuan kepada pengeluaran makanan ternakan seperti jagung bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.
Namun, beliau menegaskan pembangunan tanaman padi tanah kering akan terus menjadi antara keutamaan kerana potensinya yang besar serta mampu dilaksanakan secara kecil-kecilan oleh rakyat.
“Ini antara inisiatif yang akan kita terus perkasakan dari semasa ke semasa bagi memastikan keterjaminan makanan negeri sentiasa terpelihara,” katanya.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Sambutan Kaamatan MAFFI tahun ini.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan beberapa pertandingan termasuk Sugandoi, makanan tradisi, gerai tercantik serta Basaan Togiingo bagi kategori lelaki dan wanita.



