HomeUtamaGajah Borneo ditemui mati di Tongod, siasatan dijalankan

Gajah Borneo ditemui mati di Tongod, siasatan dijalankan

Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Seekor gajah Borneo ditemui mati dipercayai dibunuh dengan kejam di kawasan Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod, dalam kejadian yang mencetuskan kebimbangan serius terhadap ancaman jenayah hidupan liar di Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata pihak kementeriannya memandang serius atas kejadian tersebut.

Katanya, Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) telah menjalankan pemeriksaan awal di lokasi kejadian dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), renjer komuniti dan pihak ladang.

“Berdasarkan maklumat awal, kejadian dipercayai berlaku pada 17 Mei 2026 selepas saksi di kawasan ladang mendengar bunyi letupan kuat sebelum pemeriksaan lanjut tertangguh akibat keadaan cuaca.

“Keesokan harinya, pasukan ladang menemui bangkai seekor gajah jantan Borneo (Elephas maximus borneensis) dalam keadaan tidak bernyawa, dengan sebahagian kepala dan gading didapati hilang dan dipercayai telah dipotong. Laporan segera kemudian dibuat kepada pihak berkuasa sebelum pasukan JHL digerakkan ke lokasi bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Jafry, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala yang dipercayai akibat penggunaan alat tajam. Setakat ini, tiada kesan tembakan ditemui, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta pihak yang terlibat.

“Beberapa barangan bukti turut ditemui di lokasi dan telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan, termasuk kotak rokok dan botol air.

“Susulan kejadian itu, JHL telah melaksanakan tindakan segera termasuk operasi sekatan jalan raya (SJR) dengan kerjasama PDRM serta memperkukuh rondaan di kawasan terlibat,” ujarnya.

Justeru, tambah beliau, kementeriannya menegaskan kes berkenaan sedang disiasat secara menyeluruh dan menggesa orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.

“Kerajaan Negeri Sabah dalam masa sama menegaskan komitmen untuk terus melindungi hidupan liar serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pemburuan haram atau jenayah hidupan liar,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

KAJI SEMULA TARIF ELEKTRIK SABAH, PERTIMBANG KENAIKAN SEPARUH DAHULU

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular