HomeUtamaKhidmat kurier jadi modus operandi sindiket edar dadah lebih RM3 juta

Khidmat kurier jadi modus operandi sindiket edar dadah lebih RM3 juta

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Perkhidmatan kurier dikesan menjadi modus operandi utama sindiket pengedaran dadah susulan kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menumpaskan beberapa cubaan menyeludup bahan terlarang bernilai lebih RM3 juta, awal bulan ini.

Pengarah Kastam Negeri Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan itu membabitkan tiga kes berasingan hasil tindakan Pasukan Operasi Penguatkuasaan dan pegawai Bahagian Perkastaman menerusi Ops Tuai di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Tawau serta Kota Kinabalu.

Menurutnya, dalam kes pertama pada 11 Mei lalu kira-kira jam 1.35 petang, pegawai bertugas membuat pemeriksaan terhadap empat bagasi di Gudang Pos Aviation LTA Tawau selepas imej imbasan menunjukkan terdapat bahan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan fizikal menemukan 142 beg plastik kedap udara berzip mengandungi 57.27 kilogram hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine bernilai kira-kira RM2.86 juta.

“Sindiket dipercayai menyembunyikan dadah dalam bagasi sebelum dihantar ke Tawau menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Dalam kes kedua pada hari sama kira-kira jam 1 tengah hari, Cawangan Narkotik JKDM Sabah merampas satu bungkusan di Gudang Pos Aviation Kota Kinabalu yang disyaki mengandungi dadah.

Katanya, pemeriksaan mendapati bungkusan berkenaan mengandungi 4,678 gram methamphetamine bernilai RM233,900 sebelum dibawa ke Wisma Penguatkuasaan Sabah untuk siasatan lanjut.

“Sindiket menggunakan taktik memasukkan bahan terlarang ke dalam bungkusan putih sebelum dimasukkan ke dalam kotak dan dihantar ke Semporna melalui perkhidmatan kurier,” katanya.

Sementara itu, dalam kes ketiga pada 8 Mei lalu kira-kira jam 9.30 pagi, JKDM Sabah turut merampas satu bungkusan mengandungi 375 gram pil estacy bernilai RM56,250 di Gudang Pos Aviation Kota Kinabalu.

Menurutnya, sindiket cuba mengaburi pihak berkuasa dengan melabelkan bungkusan terbabit sebagai set barangan elektronik.

Dr Ahmad Taufik berkata, semua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau turut menggesa orang ramai membantu JKDM membanteras aktiviti penyeludupan termasuk dadah, rokok, minuman keras, mercun dan kenderaan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh disalurkan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Zara pernah kongsi rasa tidak selesa diganggu pelajar – Saksi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular