Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Polis Sabah membongkar taktik baharu sindiket pengedaran dadah yang mencampurkan cecair dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam vape untuk dijual kepada pengguna di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, modus operandi (MO) itu dikesan susulan dua operasi berasingan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah yang membawa kepada rampasan dadah bernilai kira-kira RM3.3 juta.
Menurutnya, kes pertama berlaku pada 3 Mei lalu apabila JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menahan seorang lelaki di sebuah kawasan perumahan di daerah itu.
“Hasil pemeriksaan menemukan kira-kira 1,000 kartrij vape pelbagai jenis mengandungi cecair dadah dianggarkan seberat 20 kilogram serta dua botol gelen biru dipercayai cecair dadah seberat 11 kilogram.
“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lagi suspek di Semporna sebelum seorang lagi lelaki ditahan di Tawau bersama dadah jenis ganja,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, pada Rabu.
Jauteh berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan vape biasa, namun mencampurkan cecair THC sebagai bahan tambahan untuk menghasilkan kesan khayal, kecelaruan mental dan ketagihan melampau kepada pengguna.
“Kita sering dengar dakwaan vape dicampur dadah dan kali ini kita berjaya membuktikannya melalui tangkapan serta rampasan yang dibuat.
“Ini adalah rampasan terbesar pertama di Sabah melibatkan cecair dadah digunakan dalam vape,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati cecair dadah yang dijual dengan harga RM15 hingga RM30 sebotol itu dibawa masuk ke Sabah melalui perkhidmatan kargo.
Dalam operasi kedua pula, katanya, JSJN Kota Kinabalu menahan dua lelaki di kawasan parkir kereta di 88 Marketplace Kepayan pada 11 Mei lalu dan menemukan dua kilogram syabu di dalam kenderaan dinaiki mereka.
“Hasil siasatan segera dengan kerjasama JSJN IPK Sabah dan IPD Penampang membawa kepada penahanan dua lagi lelaki serta rampasan 50 kilogram dadah di sebuah penginapan di Penampang.
“Siasatan susulan kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita bersama rampasan tambahan 10 kilogram dadah,” katanya.
Menurut beliau, keseluruhan rampasan bagi operasi kedua melibatkan 63.245 kilogram syabu dan serbuk ekstasi bernilai RM3.16 juta.
Katanya, dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk ke Sabah melalui laluan sempadan Sabah-Sarawak sebelum diedarkan di negeri ini.
“Kesemua suspek berusia antara 29 hingga 52 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil semakan juga mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Jauteh berkata, polis turut menyita beberapa kenderaan dipercayai digunakan sindiket pengedaran dadah terbabit.
Beliau berkata, daripada empat tangkapan dalam kes vape THC itu, tiga suspek adalah warga tempatan manakala seorang lagi warga asing yang dipercayai berperanan sebagai pengedar di Sabah.



