Oleh J Evachel John
LABUAN: Seorang guru agama dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada pertuduhan melakukan serangan seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki sekolah tahfiz.
Hakim Mahkamah Sesyen Dr Melissa Chia Pui Fu melepas dan membebaskan Muhammad Abdullah Jabeer Ali, 26, tanpa dipanggil membela diri selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Muhammad Abdullah didakwa melakukan kesalahan terhadap seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dengan melakukan seks oral terhadap mangsa kira-kira jam 10.30 malam pada 15 Sept 2022 di tandas sebuah sekolah agama di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan, manakala hukuman tambahan di bawah Seksyen 16(1) akta sama memperuntukkan penjara sehingga lima tahun serta sekurang-kurangnya dua sebatan.
Tertuduh diwakili oleh peguam Datuk Ram Singh, Prem Elmer Ganasan and Prabjit Singh Gill.
Menurut Ram, empat saksi memberi keterangan sepanjang prosiding dan mahkamah turut memerintahkan wang jaminan Muhammad Abdullah dipulangkan.



