KOTA KINABALU: Seramai 37 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar Kota Kinabalu dan Tawau.
Operasi yang dilaksanakan menerusi Ops Sapu, Ops Kutip, Ops Belanja dan Ops Selera oleh Bahagian Penguat Kuasa JIM Sabah dengan kerjasama JIM Tawau itu melibatkan pemeriksaan di 17 premis.
Sepanjang operasi dijalankan, seramai 190 individu telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 37 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dewasa dan 12 wanita dewasa warga Filipina, tujuh lelaki dewasa warga Pakistan, tiga lelaki dewasa warga India serta lima wanita dewasa warga Indonesia.
“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk tanpa pas yang sah dan tinggal di Sabah menelebihi tempoh yang dibenarkan,” menurut kenyataan itu.
JIM Sabah berkata, operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan berkenaan dalam membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen di negeri ini.
Dalam pada itu, JIM Sabah menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI.
Jabatan itu turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing.
Menurutnya, tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya membabitkan isu keselamatan.



