HomeUtamaProgram hantar pulang PATI diteruskan melalui udara

Program hantar pulang PATI diteruskan melalui udara

Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah meneruskan Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kategori usir melalui udara dengan menghantar pulang lapan warga Filipina ke negara asal mereka.

Program yang dilaksanakan pada Khamis (21 Mei) itu melibatkan tujuh tahanan lelaki dewasa dan seorang tahanan wanita dewasa berusia antara 29 hingga 45 tahun.

Kesemua mereka dihantar pulang melalui penerbangan terus ke Manila dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

Menurut kenyataan JIM Sabah, semua PATI terbabit merupakan tahanan warganegara Filipina dari Depot Imigresen Papar.

Sebelum ini, JIM Sabah turut melaksanakan beberapa siri pemindahan melalui udara iaitu melibatkan 15 tahanan dari Depot Imigresen Papar pada 7 Mei, tiga tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu pada 12 Mei serta empat tahanan dari Depot Imigresen Sandakan pada 13 Mei lalu.

Keseluruhannya, seramai 30 tahanan warganegara Filipina telah dihantar pulang sepanjang Mei ini menerusi pengangkutan udara.

Menurut kenyataan itu lagi, jumlah keseluruhan warga asing yang telah dipindahkan setakat ini adalah seramai 3,093 orang.

Kesemua PATI terbabit juga telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

JIM Sabah berkata, pelaksanaan program pemindahan tahanan warga asing itu turut bergantung kepada kerjasama dan komitmen pihak kedutaan negara masing-masing.

Dalam pada itu, JIM Sabah menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah.

Majikan yang didapati bersubahat atau melindungi PATI boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan.

RELATED ARTICLES
Utama

Ops Tiris 4.0: Lebih 3,000 liter diesel disita

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular