HomeUtamaOps Tiris 4.0: Lebih 3,000 liter diesel disita

Ops Tiris 4.0: Lebih 3,000 liter diesel disita

Read Time:1 Minute, 20 Second

TAWAU: Sebanyak 3,300 liter minyak diesel berjaya dirampas menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di kawasan Kampung Merotai, di sini, kelmarin.

Kesemua minyak diesel tersebut disimpan di dalam tong besi yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Turut disita ialah sebuah bot “skow”, sebuah bot tunda (tugboat), lapan tong drum berisi minyak diesel, gulungan hos sepanjang lima meter serta sebuah pam air 5hp yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau berkata, nilai rampasan barang kawalan dianggarkan berjumlah RM16,401, manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk barang bukan kawalan dianggarkan sebanyak RM3,503,701.

“KPDN Tawau terus memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dalam usaha membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi di daerah Tawau dan kawasan perairan sekitarnya.

“Operasi dan risikan itu dilaksanakan bersama agensi daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, KPDN Tawau telah membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]. Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

KPDN menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras penyelewengan barang kawalan serta memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS lahir lebih 100,000 alumni berkualiti di peringkat nasional dan antarabangsa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular