Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Penganjuran program khatan perdana yang dilaksanakan secara percuma berjaya membantu meringankan beban kewangan ibu bapa, khususnya sempena musim cuti sekolah yang bermula hari ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih berkata, program anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) itu dilihat dapat memberi manfaat besar kepada rakyat.
“Program pada hari ini merupakan satu program yang bagus selain dapat meringankan beban para ibu bapa. Sebab kalau berkhatan diluar kosnya terutama di klinik hampir mencecah lebih RM200.
“Tapi hari ini kita buat, kita bagi percuma kepada semua dan peserta juga terdiri daripada mereka-mereka bukan saja di sekitar Kota Kinabalu, malahan turut terbuka daripada mana-mana yang datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Khatan Perdana anjuran JHEAINS dengan kerjasama beberapa agensi lain di Masjid Negeri di sini pada Sabtu.
Hadir sama Pengarah JHEAINS Datuk Awang Juri Awang Tahir,
Isnin berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada petugas kesihatan yang hadir membantu secara sukarela bagi memastikan program berjalan lancar.
“Saya ucap tahniah kepada pihak penganjur dan terima kasih kepada doktor-doktor serta semua agensi yang sudi membantu menjayakan program ini,” katanya.
Sementara itu, Awang Juri berkata, seramai 150 peserta telah menyertai program berkenaan melibatkan kanak-kanak sekitar daerah Kota Kinabalu.
Katanya, kejayaan penganjuran program itu turut disokong oleh kerjasama pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan sukarelawan yang membantu memastikan kelancaran majlis.
Beliau berkata, pihaknya juga merancang memperluaskan program berkenaan ke daerah-daerah lain di Sabah sehingga penghujung tahun ini.
“Kita mengalu-alukan mana-mana pihak dan pemimpin tempatan di seluruh daerah untuk bersama-sama menganjurkan program seperti ini demi manfaat masyarakat,” katanya. – SABAH MEDIA



