KOTA KINABALU : Seramai kira-kira 500 belia daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di Sabah menyertai Simposium Peringkat Kebangsaan “Membina Ketahanan Digital Belia” yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini baru-baru ini.
Program anjuran Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) itu bertujuan meningkatkan kesedaran serta daya tahan golongan muda terhadap ancaman keselamatan dalam era digital.
Ketua Pengarah SEARCCT, Datin Nur Ashikin Mohd Taib berkata, perkembangan teknologi dan media sosial masa kini membawa pelbagai manfaat, namun turut membuka ruang kepada penyebaran maklumat salah, ucapan kebencian dan pengaruh ideologi ekstrem.

Katanya, golongan belia perlu memainkan peranan penting sebagai benteng utama dalam memastikan keselamatan digital negara terus terpelihara.
“Dalam dunia hari ini, kehidupan generasi muda amat berkait rapat dengan teknologi dan media digital yang telah menjadi sebahagian daripada rutin harian.
“Namun, di sebalik manfaat tersebut, terdapat ancaman seperti manipulasi maklumat, pengaruh ekstremisme dan kandungan berbahaya yang boleh menjejaskan keselamatan masyarakat,” katanya ketika merasmikan simposium tersebut.
Beliau berkata, setiap tindakan pengguna di ruang digital termasuk perkongsian maklumat dan kandungan yang dipercayai akan memberi kesan kepada ekosistem digital negara.
“Justeru, kita perlu membina ‘mental firewall’ dalam kalangan belia iaitu keupayaan menilai maklumat secara kritikal, menapis kandungan berbahaya dan menolak pengaruh negatif sebelum ia mempengaruhi pemikiran serta tindakan,” katanya.
Simposium itu menghimpunkan penyertaan mahasiswa daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, University College Sabah Foundation (UCSF), Politeknik Kota Kinabalu serta Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya.
Program turut menampilkan syarahan utama bertajuk “Peranan Belia dalam Memperkukuh Ketahanan Digital dan Keselamatan Negara” yang disampaikan oleh Datuk Mohd Azhar Hamin.
Selain itu, dua sesi panel khas diadakan bagi membincangkan isu ancaman digital dan fahaman pelampau keganasan melibatkan tokoh akademik, pengamal media serta pendakwah bebas.
Sesi Panel I bertajuk “Memahami Ancaman Digital dan Kerentanan Belia” menampilkan Prof Dr Asmady Idris, Asrul Daniel Ahmed dan Mediha Mahmood sebagai ahli panel.
Manakala Sesi Panel II bertajuk “Forum Khas Fahaman Pelampau Keganasan” membincangkan kepentingan kesedaran masyarakat terhadap ancaman ekstremisme dan langkah pencegahan awal.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Datuk Dr Rossita Shapawi; Pensyarah Kanan UiTM, Dr Fatihah Anas Muhiddin serta Penyelaras Program Simposium, Dr Hafizah Nur Adeen Nor Ahmad.



