HomeUtamaPM Anwar dijangka rasmi Sambutan Pesta Kaamatan Sabah 2026 Sabtu ini

PM Anwar dijangka rasmi Sambutan Pesta Kaamatan Sabah 2026 Sabtu ini

Read Time:2 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir bagi merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang akan berlangsung pada 30 Mei ini di Dewan Hongkod Koisaan (KDCA), Penampang.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana dan Penyelaras (MICC) Pesta Kaamatan, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata, kehadiran Perdana Menteri membuktikan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Persekutuan terhadap kebudayaan dan keunikan masyarakat Sabah.

Beliau berkata, sambutan Pesta Kaamatan tahun ini dijangka lebih istimewa dan meriah dengan kehadiran tetamu kehormat dari peringkat nasional selain pengisian program kebudayaan berskala besar yang telah disusun oleh pihak penganjur.

“Sambutan Pesta Kaamatan pada tahun 2026 sangat istimewa dan meriah kerana menerima kunjungan tetamu kehormat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka hadir bagi merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 pada 30 Mei nanti.

“Manakala pada 31 Mei pula merupakan hari Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah yang akan dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi temu bual di konti Sabah FM, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini.

Tambah Jeffrey, pelbagai persembahan kebudayaan telah disiapkan bagi menyambut ketibaan tetamu kehormat dan para pengunjung yang dijangka hadir dari seluruh negeri.

Selain itu katanya, tumpuan utama rakyat Sabah juga terarah kepada Pertandingan Akhir Unduk Ngadau Peringkat Negeri 2026 yang akan menampilkan seramai 53 peserta bagi merebut gelaran juara tahun ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihak jawatankuasa penganjur turut memberi perhatian serius terhadap isu kesesakan lalu lintas dan kekurangan parkir sepanjang sambutan berlangsung.

Sehubungan itu, katanya, perkhidmatan bas ulang-alik atau shuttle bus percuma akan disediakan kepada pengunjung melibatkan dua laluan utama iaitu dari KDCA ke Imago dan Suria Sabah ke KDCA.

“Bas ini akan beroperasi melibatkan dua laluan utama iaitu dari KDCA ke Imago dan Suria Sabah ke KDCA.

“Saya amat menggalakkan pengunjung untuk meletakkan kenderaan di kawasan bandar dan menggunakan perkhidmatan bas ini kerana ia jauh lebih mudah, selesa dan sangat membantu mengurangkan kesesakan teruk di KDCA,” katanya.

Jeffrey turut mengingatkan orang ramai agar menjaga tingkah laku dan menghormati nilai budaya sepanjang sambutan berlangsung kerana Pesta Kaamatan merupakan perayaan kebudayaan yang penuh dengan nilai moral dan warisan tradisi masyarakat Sabah.

“Kita boleh bergembira, bersosial dan menikmati juadah tradisional, tetapi sentiasalah berpada-pada terutamanya dalam pengambilan minuman keras dan jangan jadikan keseronokan yang berlebihan sebagai punca pudarnya nilai murni kebudayaan kita di mata generasi muda dan tetamu luar,” katanya.

Beliau berharap sambutan Pesta Kaamatan tahun ini akan berlangsung dengan lancar, selamat dan menjadi kenangan indah kepada semua pengunjung.

Pada masa sama, beliau menyeru rakyat Sabah untuk menghayati tema sambutan tahun ini iaitu “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian” sebagai amalan dalam kehidupan seharian demi memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah yang akan berlangsung pada 30 dan 31 Mei ini di Dewan Hongkod Koisaan (KDCA), Penampang.

RELATED ARTICLES
Utama

MCMC perkukuh kerjasama rentas agensi tangani scam dalam talian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular