HomeUtamaBeberapa kampung di Beaufort berdepan risiko banjir jika tindakan segera tidak diambil

Beberapa kampung di Beaufort berdepan risiko banjir jika tindakan segera tidak diambil

Read Time:1 Minute, 55 Second

BEAUFORT: Beberapa kampung di daerah ini dikhuatiri terus berdepan risiko banjir dan hakisan serius sekiranya langkah segera tidak diambil bagi menangani masalah aliran Sungai Padas.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, keadaan itu dapat dilihat menerusi tinjauan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di beberapa kawasan sungai yang dikenal pasti menjadi punca limpahan air ketika musim banjir.

Menurutnya, antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Lago, Kukup Suasa,  Jabang, Bangkalalak dan Berumbai yang kerap berhadapan limpahan air apabila paras Sungai Padas meningkat.

“Ini adalah usaha kita untuk mengurangkan risiko banjir yang kerap kali berlaku di kampung-kampung terutama Kampung Lago, Suasa serta kawasan kukup, Jabang, Bangkalalak dan Berumbai.

“Sekiranya tindakan awal tidak dilakukan, penduduk di kawasan ini akan terus berhadapan risiko banjir dan kerosakan yang lebih serius pada masa akan datang,” katanya selepas menyusuri Sungai Padas bersama pegawai JPS di sini baru-baru ini.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, hasil tinjauan mendapati beberapa laluan sungai yang dahulunya menjadi saluran utama air banjir ke laut kini semakin cetek dan sempit sehingga menjejaskan kelancaran aliran air.

Katanya, keadaan itu berlaku di Sungai Belampat Membangan yang sebelum ini berfungsi menyalurkan limpahan Sungai Padas terus ke laut namun kini memerlukan kerja pendalaman dan pelebaran sungai.

Selain itu, beliau berkata, Kuala Sungai Malamin juga didapati sudah tertutup sepenuhnya sehingga tidak lagi dapat dilalui air seperti sebelum ini.

“Keadaan ini menyebabkan aliran air banjir menjadi perlahan dan meningkatkan risiko limpahan di kawasan kampung berhampiran,” katanya.

Beliau turut mencadangkan pembinaan lencongan baharu dari Sungai Nabahan Suasa menuju ke Sungai Belampat dan seterusnya ke Mambangan bagi mempercepatkan aliran air banjir ke laut.

Menurutnya, cadangan projek berskala besar itu termasuk usaha meluruskan beberapa tanjung di Sungai Padas dijangka dapat mengurangkan impak hakisan serta kerosakan infrastruktur awam.

Ruslan berkata, pihaknya juga bimbang hakisan aktif di kawasan Tanjung Suasa dan Tanjung Lalangut boleh menyebabkan jalan raya terputus sekiranya tidak ditangani segera.

Katanya, semasa tinjauan dilakukan, pihaknya mendapati terdapat jalan konkrit yang runtuh ke sungai selain tiang elektrik dan paip turut terjejas akibat hakisan.

“Kalau perkara ini dibiarkan, ia bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk tetapi turut menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, semua cadangan berkaitan akan dikemukakan kepada kerajaan dan kementerian berkaitan termasuk untuk pertimbangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji hadir Hari Raya Aidiladha IPD Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular