HomeUtamaDyann serlahkan keistimewaan Baju Labuk

Dyann serlahkan keistimewaan Baju Labuk

Read Time:2 Minute, 2 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Di sebalik empat warna pada Baju Labuk yang digayakan Dyann Dharlla Dominic, tersimpan makna mendalam mengenai identiti dan perpaduan komuniti Dusun Labuk.

Tampil anggun bersama mahkota Unduk Ngadau Beluran, Dyann berkata Baju Labuk bermotifkan bunga gosing disulam sepenuhnya dengan tangan menggunakan benang berwarna biru, merah jambu, kuning dan hijau.

Keistimewaan dan simbolik empat warna pada Baju Labuk itu turut menjadi inspirasi kepada rekaan eksklusif mahkota Unduk Ngadau Beluran yang digayakannya.

“Empat warna ini melambangkan kepelbagaian suku dalam komuniti Dusun Labuk yang kebanyakannya menetap di daerah Beluran dan Telupid seperti Putih, Sogilitan, Tompulung, Tindakon dan Turavid,” kata Dyann yang merupakan antara 53 finalis pertandingan akhir Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2026.

Keempat-empat warna bunga itu tidak bercampur antara satu sama lain sebagai simbolik bahawa setiap suku mempunyai adat istiadat dan kepercayaan tersendiri yang harus dihormati.

“Dalam komuniti Dusun Labuk, warna biru dan hijau dipanggil ‘otomou’.

“Ia menjadi simbol bahawa meskipun datang daripada suku yang berlainan, komuniti Dusun Labuk tetap berkongsi pelbagai persamaan budaya terutama dari segi bahasa pertuturan dan muzik tradisional,” kata jururawat berusia 25 tahun itu.

Tambahnya, jika diperhatikan dengan teliti, bunga berwarna hijau dan kuning pada bahagian hadapan dada disambungkan dengan tangkai sebagai simbol hubungan kekeluargaan yang tetap wujud walaupun berlainan suku.

Pemakaian Sabung Labuk turut mengingatkan Dyann tentang semangat ‘kopiiso ginavo’ iaitu persefahaman dan kesepakatan yang menjadi pegangan komuniti Dusun Labuk.

Menurutnya, mendalami makna di sebalik setiap warna dan sulaman pada Baju Labuk banyak mengajarnya tentang nilai merendah diri, saling menghormati dan pentingnya menjaga hubungan sesama komuniti.

“Baju Labuk sangat istimewa buat saya. Semakin saya mendalami makna di sebaliknya, semakin saya faham bahawa ia bukan sekadar pakaian tradisi, tetapi membawa bersama identiti, nilai dan semangat ‘kopiiso ginavo’ komuniti Dusun Labuk.

“Ia mengajar saya tentang rendah diri dan pentingnya menghormati orang lain, seperti resmi padi, semakin tunduk semakin berisi.

“Memakai Mahkota Unduk Ngadau Beluran pula adalah satu penghormatan dan amanah untuk menjaga nama baik serta warisan komuniti Dusun Labuk,” katanya.

Tambahnya lagi, Sabung Labuk digayakan dengan aksesori tradisional seperti ‘kambot’ (tali pinggang daripada syiling perak) dan ‘simpagot’ (tali pinggang tembaga), ‘simbong’ (anting-anting), ‘kalung’ (rantai) dan ‘golong sulau’ (gelang tangan).

Selain memperingati pengorbanan Huminodun, pertandingan Unduk Ngadau turut menjadi platform untuk memperkasakan wanita muda sebagai duta budaya, warisan dan komuniti Kadazandusun serta masyarakat Sabah secara keseluruhannya.

Pemenang tahun ini bakal membawa pulang wang tunai RM15,000 selain tajaan pendidikan, pakej saringan kesihatan, produk kecantikan dan pelbagai hadiah lain daripada penaja.

RELATED ARTICLES
Utama

Beberapa kampung di Beaufort berdepan risiko banjir jika tindakan segera tidak...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular