KUALA LUMPUR: Ryt Bank hari ini melancarkan Ryt Invest, satu ciri pelaburan digital baharu yang membolehkan rakyat Malaysia melabur terus melalui aplikasi perbankannya dengan modal permulaan serendah RM1.
Pelancaran itu dibuat menerusi kerjasama strategik bersama Opus Asset Management Sdn Bhd (OpusAM), sekali gus menjadikan Ryt Bank antara bank digital pertama di Malaysia yang menawarkan akses kepada dana kendalian institusi secara terus dalam aplikasi mudah alih.
Melalui platform tersebut, pengguna boleh mengakses pelaburan patuh Syariah tanpa caj jualan (0% sales charge), selain menikmati pengalaman pelaburan yang lebih mudah dan mesra pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Interim Ryt Bank, Wilson Soon berkata, pelancaran Ryt Invest bertujuan membuka akses pelaburan kepada lebih ramai rakyat Malaysia yang sebelum ini melihat pelaburan sebagai sesuatu yang rumit dan mahal.
“Ryt Invest bukan sekadar satu lagi produk pelaburan. Matlamat kami adalah untuk membuka akses pelaburan kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
“Dengan Ryt Invest, kami membuka akses kepada kepakaran pelaburan yang dipercayai oleh institusi besar melalui aplikasi selamat yang sama digunakan pelanggan untuk menyimpan, berbelanja dan membuat pembayaran,” katanya.
Ryt Invest menawarkan tiga pilihan pelaburan utama yang disusun mengikut matlamat kewangan dan tahap toleransi risiko pelanggan.
Ryt Invest SavePlus memberi tumpuan kepada pelaburan patuh Syariah berisiko rendah dengan 0% caj jualan, manakala Ryt Invest Income pula memfokuskan kepada penjanaan pulangan jangka panjang melalui pelaburan pelbagai aset.
Selain itu, Ryt Invest Gold menawarkan pendedahan kepada pelaburan bertemakan emas bagi membantu pelanggan mempelbagaikan portfolio mereka dalam keadaan pasaran semasa.
Sebagai galakan kepada pelabur terawal, Ryt Bank turut menawarkan bonus tambahan terjamin sebanyak 1% setahun berdasarkan jumlah nilai pelaburan pelanggan tanpa had maksimum untuk tempoh terhad.
Kempen tersebut berlangsung dari 28 Mei hingga 31 Ogos 2026, dengan pelanggan yang melengkapkan pembelian pertama layak menikmati bonus selama 90 hari berturut-turut.
Ryt Bank berkata, pelancaran Ryt Invest mencerminkan aspirasi syarikat untuk membangunkan ekosistem perbankan digital yang lebih menyeluruh dengan menggabungkan simpanan, pembayaran, kredit dan pelaburan dalam satu platform bersepadu.
Ryt Bank merupakan bank digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang disokong oleh YTL Power International Berhad dengan kerjasama Sea Limited.
Sementara itu, OpusAsset ialah pengurus dana bebas yang dikawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan lebih RM10 bilion aset di bawah pengurusan serta pengalaman industri melebihi 25 tahun.



