HomeUtamaHarga 12 barangan Kaamatan dikawal hingga 4 Jun

Harga 12 barangan Kaamatan dikawal hingga 4 Jun

Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan 2026 bermula 27 Mei hingga 4 Jun ini bagi memastikan harga barangan keperluan kekal terkawal sepanjang musim perayaan.

Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, pelaksanaan skim itu dipantau menerusi pemeriksaan dan walkabout yang dijalankan di beberapa premis perniagaan termasuk di Servay Hypermarket Jalan Penampang, Pekan Koidupan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan diketuai Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Sabah, Fredeck Kantod bersama sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Sabah bagi menilai tahap pematuhan peniaga di peringkat runcit dan borong.

“Tempoh pelaksanaan skim ini adalah selama sembilan hari iaitu tiga hari sebelum perayaan, sehari pada hari perayaan dan lima hari selepas perayaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 12 jenis barangan telah diwartakan di bawah SHMMP Pesta Kaamatan 2026 iaitu kepak ayam, daging kerbau import dari India, cili kering kerinting, bawang merah kecil India, bawang merah besar, bawang kuning besar, bawang putih dari China, halia tua import, ubi kentang dari China, babi hidup peringkat ladang, daging babi bahagian perut serta daging dan lemak babi.

Katanya, skim berkenaan dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi membolehkan penentuan harga dibuat di peringkat pemborong dan peruncit.

“Pelaksanaan skim ini bertujuan menstabilkan harga dan memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang musim perayaan selain membantu pengguna mendapatkan keperluan pada harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata, semakan harga terkawal boleh dibuat menerusi laman sesawang rasmi KPDN.

Dalam pada itu, KPDN Sabah menggerakkan 204 pegawai penguat kuasa dan 72 pegawai pemantau harga di seluruh negeri bagi memantau bekalan serta pematuhan harga di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah.

Sejak 1 Januari hingga 24 Mei lalu, sebanyak 3,620 premis telah diperiksa dengan 40 kes direkodkan membabitkan nilai kompaun RM4,900.

Shahril berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan.

Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.

Peniaga yang gagal meletakkan tanda harga merah jambu pula boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi individu dan RM20,000 bagi syarikat.

Orang ramai boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki dipenjara 10 tahun, dua rotan rogol anak tiri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular