HomeUtamaJamawi harap dana interim RM1.5 bilion perkukuh industri padi Sabah

Jamawi harap dana interim RM1.5 bilion perkukuh industri padi Sabah

Read Time:1 Minute, 38 Second

PENAMPANG: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berharap sebahagian daripada bayaran interim tambahan RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat disalurkan bagi memperkukuh pembangunan industri padi di negeri ini.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi meningkatkan tahap sara diri pengeluaran beras Sabah yang ketika ini hanya mampu memenuhi kira-kira 20 peratus daripada keperluan rakyat negeri ini.

Menurutnya, walaupun mengalu-alukan pengumuman tambahan bayaran interim berkenaan, masih banyak usaha perlu dilakukan untuk membangunkan sektor padi di Sabah.

“Sebagai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, saya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri mengenai tambahan bayaran interim RM1.5 bilion tahun ini sementara menunggu pemuktamadan dan penentuan jumlah sebenar pemberian khas 40 peratus kepada Sabah.

“Namun, kita perlu sedar bahawa Pesta Kaamatan diraikan sebagai simbol penghargaan terhadap hasil padi, sedangkan Sabah ketika ini hanya mengeluarkan kira-kira 20 peratus daripada keperluan beras negeri. Masih banyak yang perlu dilakukan untuk membangunkan dan memperkasakan industri padi,” katanya.

Jamawi (tengah) merakamkan gambar dengan semua komuniti Murut yang turut serta dalam program selama dua hari di Rumah Tradisi itu sempena Sambutan Pesta Menuai pada kali ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pameran Peralatan Tradisi dan Makanan Tradisi Murut di Rumah Tradisi Murut Tenom, Hongkod Koisaan KDCA, di sini, hari ini.

Jamawi berkata, sambutan Pesta Kaamatan yang diraikan setiap tahun mempunyai hubungan rapat dengan industri padi yang menjadi asas kepada perayaan itu sejak turun-temurun.

Katanya, usaha memperkukuh sektor padi perlu diberi perhatian serius agar warisan budaya yang berkait rapat dengan penanaman padi dapat terus dipelihara.

“Peningkatan pengeluaran padi tempatan bukan sahaja penting bagi menjamin keselamatan makanan negeri, malah mampu mengurangkan kebergantungan Sabah terhadap bekalan beras dari luar.

“Saya berharap sebahagian daripada peruntukan tambahan itu dapat digunakan untuk pembangunan industri padi di Sabah,” katanya.

Beliau turut berharap pembangunan industri padi terus diberi keutamaan dalam agenda pembangunan negeri selaras dengan usaha memperkukuh sektor pertanian dan menjamin bekalan makanan yang mampan untuk rakyat Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

PPNS sambut baik kenaikan bayaran interim Sabah kepada RM1.5 bilion

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular