PENAMPANG: Kerajaan dan pihak berkaitan disaran mempertimbangkan isu kenaikan tambang penerbangan ke Sabah, khususnya ketika musim perayaan, bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat yang ingin pulang ke kampung halaman.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, isu kenaikan tambang penerbangan sering menjadi rungutan masyarakat, terutama ketika sambutan perayaan utama seperti Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
Menurut beliau, walaupun terdapat beberapa inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan, usaha tambahan perlu dipertimbangkan bagi memastikan rakyat Sabah dapat menikmati tambang penerbangan yang lebih berpatutan.
“Kita dapati memang ada sedikit kenaikan tambang. Walau bagaimanapun, kita minta pihak kerajaan dan mereka yang berkaitan untuk mempertimbangkan perkara ini terutama ketika musim perayaan.
“Walaupun kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan menyediakan beberapa insentif, usaha lanjut wajar dipertimbangkan bagi membantu rakyat Sabah yang pulang ke kampung untuk menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2026 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini, pada Ahad.
Dalam perkembangan berkaitan, Jafry berkata sambutan Pesta Kaamatan bukan sahaja berperanan sebagai platform untuk memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai etnik di Sabah, malah mempunyai potensi besar sebagai pemangkin pertumbuhan sektor pelancongan negeri.
Katanya, kepelbagaian budaya yang dimiliki oleh 35 etnik di Sabah merupakan aset berharga yang mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.
“Kita mempunyai satu tarikan yang amat baik dan menjadi aset utama negeri Sabah iaitu Pesta Kaamatan.
“Melalui Pesta Kaamatan ini, bukan sahaja budaya dapat diketengahkan, malah pelbagai aktiviti dan tradisi masyarakat dapat diraikan serta diperkenalkan kepada pelancong,” ujarnya.
Menurut beliau, pengiktirafan yang diterima daripada Malaysia Book of Records bagi penganjuran program Kaamatan selama 17 hari secara berterusan membuktikan festival tersebut mempunyai daya tarikan tersendiri serta mampu menarik kehadiran pelancong dalam jumlah yang besar.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat setempat supaya lebih kreatif dalam membangunkan produk pelancongan berasaskan budaya, warisan dan destinasi luar bandar bagi memperkukuh kedudukan Sabah sebagai antara destinasi pelancongan utama negara.
“Dengan kekayaan budaya dan keunikan yang kita miliki, saya percaya Sabah mampu terus menjadi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara sekiranya aset-aset ini dimanfaatkan secara optimum,” katanya.



