KOTA KINABALU : Penggunaan rokok, vape dan produk tembakau terus menjadi ancaman utama terhadap kesihatan awam negara apabila semakin ramai golongan muda terdedah kepada ketagihan nikotin serta risiko penyakit kronik pada usia lebih awal.
Ketua Jabatan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud berkata, penggunaan produk tembakau bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal, malah turut memberi implikasi terhadap kesihatan mental pengguna.
Beliau berkata bahan utama dalam rokok dan vape iaitu nikotin boleh menyebabkan ketagihan selain mempengaruhi emosi, tingkah laku serta tahap keresahan pengguna.
“Penggunaan produk tembakau meningkatkan risiko pelbagai penyakit kronik termasuk serangan jantung, strok, kanser dan penyakit paru-paru kronik.
“Bagi golongan remaja dan awal belia, nikotin boleh membantutkan perkembangan otak serta memberi kesan jangka panjang apabila mereka dewasa kelak,” katanya ketika ditemui dalam satu temubual sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia, baru-baru ini.
Menurut beliau, ancaman penggunaan rokok dan vape masih membimbangkan berikutan trend penggunaannya semakin ketara dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
“Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, kadar perokok dewasa di Malaysia dianggarkan sekitar 19 peratus atau kira-kira 4.8 juta perokok di seluruh negara.
“Angka ini masih tinggi dan memberi kesan besar kepada sistem kesihatan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Nazri menegaskan kempen kesedaran seperti Hari Tanpa Tembakau mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya merokok, namun pendekatan tradisional semata-mata tidak mencukupi untuk mengubah tingkah laku perokok dalam jangka panjang.
“Pendekatan lebih moden perlu diperkenalkan dengan memberi fokus kepada golongan muda menerusi penggunaan media sosial, penglibatan pempengaruh dalam menyampaikan mesej positif serta penerapan kempen gaya hidup sihat.
“Golongan belia juga perlu diberikan kemahiran untuk menolak ajakan merokok agar mereka lebih yakin membuat pilihan hidup sihat,” katanya.
Mengulas berkaitan strategi membantu perokok untuk berhenti merokok, beliau berkata rawatan terapi gantian nikotin dan sesi kaunseling psikologi antara pendekatan paling berkesan apabila dilaksanakan secara menyeluruh.
“Sokongan keluarga dan komuniti juga penting bagi memastikan individu yang menjalani rawatan kekal bermotivasi sehingga tamat tempoh rawatan di klinik berhenti merokok yang lazimnya mengambil masa sekitar enam bulan.
“Cadangan juga agar akses kepada perkhidmatan berhenti merokok diperluaskan di hospital dan klinik kerajaan, institusi pengajian tinggi serta hospital swasta selain diperkasakan melalui hebahan lebih meluas kepada masyarakat,” katanya.
Dalam aspek sosial dan ekonomi, katanya tabiat merokok memberi beban kewangan kepada keluarga bukan sahaja dari segi pembelian rokok, malah kos rawatan penyakit berkaitan merokok yang jauh lebih tinggi.
Menurut data World Health Organization (WHO), perokok berisiko kehilangan sehingga 10 tahun jangka hayat akibat komplikasi penyakit berkaitan tembakau.
“Kanak-kanak juga mudah terpengaruh sekiranya ibu bapa atau ahli keluarga terdekat merokok di hadapan mereka.
“Justeru itu, masyarakat perlu menormalisasikan budaya menolak rokok dan vape khususnya dalam kalangan generasi muda bagi melahirkan komuniti yang lebih sihat dan bebas penyakit kronik,” ujar beliau.



