LABUAN: Seorang lelaki tempatan berjaya ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan dalam satu Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di sebuah jeti tidak berdaftar di kawasan Kampung Sungai Keling, di sini pada Rabu.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan Junaidah Arbain berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas 750 liter cecair disyaki petrol dipercayai cuba untuk diseleweng.
Beliau berkata, serbuan yang dilaksanakan sekitar jam 2 petang itu adalah hasil maklumat risikan yang dijalankan berhubung aktiviti penyimpanan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran di lokasi berkenaan.
“Dalam operasi tersebut, anggota penguat kuasa telah menemui 20 gelen dan dua drum yang mengandungi cecair disyaki petrol dengan anggaran kuantiti keseluruhan sebanyak 750 liter.

“Pemeriksaan lanjut mendapati barang kawalan berjadual itu dipercayai disimpan tanpa permit atau kebenaran bertulis yang sah daripada KPDN,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Susulan itu, Junaidah berkata, kesemua barang kes telah disita untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2,940.
Katanya, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung pemilikan dan penyimpanan barang kawalan berjadual tersebut.
“KPDN Labuan memandang serius sebarang bentuk penyelewengan melibatkan barang kawalan dan akan terus memperkukuhkan operasi penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi memastikan bekalan bersubsidi serta barang kawalan berjadual tidak disalah guna atau diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Kes disiasat di bawah peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961. Jika sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,” katanya.

Menurutnya, KPDN turut menyeru orang ramai agar terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan aktiviti mencurigakan melibatkan barang kawalan melalui saluran aduan rasmi KPDN.
Beliau berkata, kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu membanteras ketirisan subsidi serta memastikan bekalan barang kawalan di negara ini sentiasa diurus dan digunakan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan. – SABAH MEDIA



