Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dikenakan denda RM100 atau tiga hari penjara selepas mengaku bersalah memiliki secara curang wang berjumlah RM265,000 dalam akaun banknya.
Kuah Kar Weng, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Marilyn Kelvin, hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki wang berjumlah RM265,000 milik seorang wanita yang diperoleh secara curang dalam akaun banknya serta gagal memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai bagaimana wang tersebut diperoleh.
Kesalahan itu dilakukan antara 22 Disember 2020 hingga 12 Januari 2021 di Lorong Gajah, Jalan Kolam, dekat sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Bab 80) Negeri Sabah yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100 atau penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, pada 28 Oktober 2020, mangsa terlihat satu iklan di Facebook yang mendapatkan nombor loteri daripada sebuah kuil di Thailand.
Selepas menekan butang mesej pada laman tersebut, mangsa diminta meninggalkan nombor telefon untuk mendapatkan nombor loteri berkenaan.
Mangsa kemudian membuat beberapa transaksi wang ke dalam beberapa akaun bank berbeza sebelum berasa curiga dan akhirnya membuat laporan polis.
Pegawai Pendakwa Inspektor Yusdi Basri mengendalikan pendakwaan.



