HomeUtama18 lelaki ditahan bantu siasatan dua kes pergaduhan di Kampung Air

18 lelaki ditahan bantu siasatan dua kes pergaduhan di Kampung Air

Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Polis Daerah Kota Kinabalu menahan 18 lelaki bagi membantu siasatan berhubung dua kejadian pergaduhan yang berlaku di kawasan Kampung Air di sini, awal pagi Khamis (4 Jun).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 4 pagi di sebuah premis makanan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an mengalami kecederaan pada bahagian betis kanan selepas dipercayai ditikam menggunakan objek tajam yang disyaki duri pari.

“Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu yang berada di premis berkenaan sebelum bertukar menjadi pergaduhan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan itu dipercayai diserang oleh beberapa suspek.

Kira-kira sejam kemudian, satu lagi kejadian pergaduhan dilaporkan berlaku di lokasi sama membabitkan beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden terdahulu.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki mengalami kecederaan lebam pada bahagian hidung selepas dipukul.

Syed Lot berkata, bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya menahan 18 lelaki bagi membantu siasatan.

Katanya, polis turut merampas beberapa barang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian, termasuk sebatang hulu senjata dan satu sarung yang disyaki digunakan untuk menyimpan senjata tajam.

“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas kesemua suspek mendapati mereka negatif daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Movendran AIL Apoorvasamy di talian 018-5746310 bagi membantu siasatan.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan ketenteraman awam.

“Polis memandang serius sebarang perbuatan keganasan dan pergaduhan yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Belia Sabah Diingatkan Rujuk Pihak Berautoriti Elak Terjerumus Ajaran Sesat

Mahkamah Kota Kinabalu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular