HomeUtamaLaluan alternatif Ranau-Kota Kinabalu jadi pilihan, kurang kesesakan

Laluan alternatif Ranau-Kota Kinabalu jadi pilihan, kurang kesesakan

Read Time:2 Minute, 12 Second

RANAU: Jalan alternatif yang menghubungkan Ranau ke Kota Kinabalu melalui Randagong dan Bundu Tuhan sebelum menuju ke Kiulu atau Tambunan semakin menjadi pilihan pengguna jalan raya kerana menawarkan perjalanan yang lebih lancar dan fleksibel, terutama ketika berlaku kesesakan di laluan utama.

Beberapa pengguna yang ditemui berkata, laluan berkenaan bukan sahaja membantu menjimatkan masa perjalanan, malah memudahkan urusan kerja harian serta aktiviti ekonomi penduduk yang kerap berulang-alik antara Ranau dan Kota Kinabalu.

Affzan Afif Azman, 29, berkata laluan melalui Kiulu sering menjadi pilihannya apabila berlaku kesesakan di Jalan Tamparuli-Ranau.

“Apabila trafik sesak terutama pada hujung minggu atau musim cuti, laluan melalui Kiulu dapat menjimatkan antara 30 minit hingga satu jam berbanding menunggu dalam kesesakan di laluan utama,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Affzan, perjalanan yang lebih lancar memudahkannya menguruskan urusan kerja dan tiba di destinasi mengikut jadual yang dirancang.

Beliau yang berasal dari Taman Saujana Kinabalu turut berkata laluan tersebut memberinya peluang untuk singgah di kawasan Karanaan bagi bertemu saudara-mara dan rakan-rakan selain menikmati pemandangan kawasan yang jarang dilalui ketika menggunakan laluan utama.

Sementara itu, Haziq Zainulariffin, 29, berkata kewujudan jalan alternatif berkenaan memberi lebih banyak pilihan kepada penduduk dan pelancong yang berulang-alik antara Ranau dan Kota Kinabalu.

“Walaupun jaraknya mungkin sedikit lebih jauh, perjalanan lebih lancar dan konsisten. Pengguna tidak perlu terlalu bergantung kepada satu laluan sahaja.

“Namun, pemandu perlu sentiasa peka dan memandu dengan cermat ketika menggunakan jalan ini. Ia membantu mereka yang mempunyai urusan rasmi, perniagaan atau komitmen kerja merancang perjalanan dengan lebih baik,” katanya.

Haziq yang kerap berulang-alik dari Telipok ke Ranau pada hujung minggu dan musim cuti berkata laluan itu banyak membantu mengelakkan kesesakan yang sering berlaku di laluan utama.

Bagi Matthew J, 46, laluan alternatif melalui Penampang-Tambunan-Ranau pula membantu mengurangkan risiko kelewatan, khususnya apabila berlaku kesesakan di kawasan bandar.

“Laluan ini memberi pilihan kepada pengguna untuk mengelakkan kesesakan, terutama di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang pada waktu puncak. Ia membolehkan perjalanan menjadi lebih lancar serta membantu mereka yang mempunyai urusan kerja atau perniagaan tiba di destinasi tepat pada masanya,” katanya.

Matthew yang merupakan pembekal buah-buahan dan sayur-sayuran di sekitar Tambunan dan Penampang berkata kesesakan jalan raya kini menjadi cabaran biasa sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Ketiga-tiga mereka berpendapat laluan alternatif tersebut bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan, malah membuka akses yang lebih baik ke kawasan luar bandar, memudahkan pergerakan penduduk setempat serta menyokong aktiviti ekonomi dan pelancongan di kawasan yang dilalui.

Mereka berharap usaha menaik taraf dan menyelenggara jalan berkenaan dapat diteruskan bagi memastikan laluan itu kekal selamat, selesa dan mampu menampung peningkatan jumlah pengguna pada masa hadapan.

RELATED ARTICLES
Utama

GRS teliti permohonan UPKO, keputusan dijangka 18 Jun

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular