HomeSukanKK City Fun Ride tampilkan KK sebagai destinasi pelancongan sukan

KK City Fun Ride tampilkan KK sebagai destinasi pelancongan sukan

Read Time:2 Minute, 23 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Penyertaan peserta dari luar negara dalam program KK City Fun Ride 2026 membuktikan bahawa Kota Kinabalu semakin mendapat perhatian sebagai destinasi pelancongan sukan yang berpotensi di rantau ini.

Program anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sempena Ulang Tahun Bandaraya Kota Kinabalu ke-26 itu bukan sahaja berjaya menghimpunkan komuniti berbasikal tempatan, malah turut menarik penyertaan kira-kira 50 peserta dari negara Brunei Darussalam serta seorang peserta dari Iceland.

Kehadiran peserta antarabangsa itu menjadi petunjuk bahawa Kota Kinabalu kini semakin dikenali di peringkat serantau dan global sebagai lokasi yang sesuai untuk penganjuran aktiviti rekreasi dan sukan komuniti.

Ketua Pengarah DBKK Datuk Sr. Lifred Wong berkata, sambutan yang diterima daripada peserta luar negara merupakan perkembangan positif yang tidak dijangka dan menunjukkan daya tarikan bandar raya ini semakin meluas.

Beliau berkata, aktiviti seperti berbasikal dan larian merupakan antara segmen pelancongan sukan yang semakin popular di seluruh dunia kerana menggabungkan elemen kesihatan, rekreasi dan pengalaman meneroka sesuatu destinasi.

“Penyertaan peserta dari Brunei yang mencecah kira-kira 50 orang menunjukkan bahawa Kota Kinabalu bukan sahaja menjadi pilihan rakyat tempatan dan pelancong domestik, malah turut menarik minat pengunjung dari negara jiran untuk menyertai program yang dianjurkan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan pelepasan peserta kayuhan program KK City Fun Ride 2026 di Padang Merdeka di sini baru-baru ini.

Pada program itu, seramai lebih 250 peserta menyertai kayuhan melibatkan jarak sejauh 24 kilometer merentasi beberapa laluan utama.

Antara laluan yang dilalui peserta adalah bermula dari Padang Merdeka;LHDN; Bulatan Masjid Negeri; Petronas; simpang susur ke Sutera Harbour; KK Central; Wisma Wanita; simpang susur Likas Plaza; bulatan Masjid Bandaraya; Menara Kinabalu seterusnya kembali semula ke Padang Merdeka.

Laluan tersebut memberi peluang kepada peserta menikmati pemandangan bandar raya serta beberapa lokasi ikonik yang menjadi kebanggaan Kota Kinabalu.

Selain menggalakkan gaya hidup sihat, acara itu turut memberikan pengalaman unik kepada peserta untuk mengenali keindahan bandar raya dari perspektif berbeza.

Lifred  berkata, aktiviti berbasikal yang merentasi kawasan bandar membolehkan peserta melihat sendiri perkembangan pesat Kota Kinabalu sebagai pusat pentadbiran, pelancongan dan ekonomi negeri.

Beliau berkata, trend pelancongan sukan kini semakin berkembang di banyak negara apabila pelancong sanggup merancang perjalanan mereka semata-mata untuk menyertai acara berbasikal, maraton, triatlon dan pelbagai aktiviti rekreasi lain.

“Situasi ini membuka peluang besar kepada Kota Kinabalu untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan dalam kalangan penggemar sukan dan aktiviti luar,” katanya.

Menyedari potensi tersebut, Lifred  berkata, pihaknya bercadang untuk memperkukuhkan promosi Fun Ride pada masa hadapan dengan memasukkan program itu ke dalam kalendar pelancongan lebih awal.

Menurutnyta, langkah itu diyakini mampu menarik lebih ramai penyertaan antarabangsa, khususnya sempena Tahun Melawat Sabah yang bakal berlangsung.

Tambahnya, promosi lebih tersusun melalui kerjasama agensi pelancongan dan pihak berkepentingan dilihat mampu meningkatkan jumlah pengunjung yang datang bukan sahaja untuk bercuti, malah untuk menyertai pelbagai acara sukan yang dianjurkan sepanjang tahun. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK

RELATED ARTICLES
Utama

PAS Tamatkan Kerjasama Politik Dengan BERSATU, Teroka Pakatan Pilihan Raya Baharu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular