HomeUtamaRayuan ditolak, bekas jururawat jalani hukuman penjara tiga tahun

Rayuan ditolak, bekas jururawat jalani hukuman penjara tiga tahun

Read Time:1 Minute, 2 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak rayuan seorang bekas jururawat klinik swasta yang disabitkan bersalah kerana menyalahgunakan wang klinik berjumlah RM85,415.

Pesuruhjaya Kehakiman Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad memerintahkan tertuduh, Shirley Suzanna, 37, menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mahkamah antaranya menolak rayuan itu selepas memutuskan bahawa rayuan tersebut tidak mempunyai merit dan keputusan Mahkamah Rendah adalah selamat.

Mahkamah juga tidak membenarkan permohonan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 10 Mei 2024, Mahkamah Majistret di sini mendapati Shirley bersalah selepas perbicaraan penuh dan menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun terhadapnya atas pertuduhan tersebut.

Namun, mahkamah majistret membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Shirley telah dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah RM85,415 milik klinik berkenaan bagi tujuan kegunaan peribadi antara 5 November 2021 hingga 31 Disember 2021 bertempat di sebuah klinik swasta di Damai Plaza, Luyang.

Dia dihukum di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari tempoh enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan dengan sebat, dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Shirley diwakili peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip manakala Timbalan Pendakwa Raya Samira Khalili.


RELATED ARTICLES
Utama

Tiga lelaki didenda RM2,000 miliki ikan tangkap guna bahan letupan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular